Azizanindayati hadir membuang undi di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri pada hari pengundian sempena PRK DUN Sungai Bakap. FOTO Mikail Ong
Azizanindayati hadir membuang undi di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri pada hari pengundian sempena PRK DUN Sungai Bakap. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Nibong Tebal: Seorang pengawal kualiti di sebuah kilang menjadi antara pengundi terawal tiba di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Duri, di sini, bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap di sini, hari ini.

Azizanindayati Supia, 44, berkata, dia yang tinggal di Alma, Bukit Mertajam, bangun seawal 5.30 pagi untuk mengurus keperluan keluarga sebelum tiba di sekolah itu pada jam 7.15 pagi dan selesai mengundi pada 8.10 pagi.

"Saya sebenarnya ada urusan kerja di Kuala Lumpur dan perlu berada di sana bersama suami pada 12 tengah hari nanti. Bagi saya dua-dua ini tanggungjawab penting memang tak boleh tinggal.

"Sibuk macam mana pun kena undi sebab kita nak bagi calon yang kita pilih menang supaya dia boleh laksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat seperti yang diharapkan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Sarifah Saari, 60, turut bersemangat mengambil bahagian dalam proses demokrasi itu termasuk mengajak suami dan tiga anak mereka datang awal ke pusat pengundian pada 8 pagi.

"Rasa lega sebab sudah lepas tanggungjawab, mak cik memang tak pernah ketinggalan turun mengundi dan ajak semua anak-anak keluar mengundi.

"Cuma ada dua lagi anak mak cik tak dapat balik kerana bekerja di Kuala Lumpur, sudah telefon tanya, tapi nampaknya setakat ini mereka tak dapat balik," katanya.

Pengundi muda, Muhammad Zairi Hakimi Zairizam, 19, berkata, dia teruja mengundi buat pertama kali dan menganggap ia satu peluang keemasan yang tidak seharusnya dilepaskan.

"Malam tadi saya sudah fikir nak mengundi calon yang mana dan saya rasa ini kewajipan penting, tak boleh ambil mudah kerana peluang macam ini tidak datang banyak kali," kata pelajar Kolej Vokasional Nibong Tebal itu.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 39,222 orang daripada 39,279 pengundi berdaftar layak mengundi, manakala 57 orang terdiri daripada anggota polis mengundi secara pos.

Tiada pusat mengundi awal dibuka untuk PRK itu walaupun tarikhnya ditetapkan pada 2 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 11:21 AM