Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Padang Rengas: Lima beranak yang maut dalam kemalangan selepas kereta dinaiki bertembung dengan treler berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Kuantan-Segamat, petang tadi dikatakan berkunjung ke Kuantan untuk urusan berkaitan pungutan hasil tanah.

Ramlan Ibrahim, 37, berkata memang menjadi kebiasaan adiknya, Muhammad Rosli Ibrahim, 33, untuk membawa isteri dan anak mereka setiap tahun ke Pahang bagi urusan pungutan hasil berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

"Setakat apa yang saya tahu, bapa mentua adik saya mempunyai pegangan berkaitan Felda. Mereka ke Pahang bagi memungut hasil itu memandangkan isterinya, Nor Afikah Abdullah Sani, 35, merupakan generasi kedua Felda.

"Memang setiap tahun arwah akan bawa keluarganya ke Pahang untuk ambil duit hasil berkenaan. Jika mereka terus bercuti di sana, itu di luar pengetahuan saya. Selalunya paling lama pun mereka berada di Pahang hanya selama dua hari," katanya ketika ditemui di Kampung Labu Kubong, Lubok Merbau, di sini, hari ini.

Ramlan. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI.
Ramlan. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI.

Untuk rekod, selain Muhammad Rosli dan Nor Afikah, turut maut dalam nahas itu ketiga-tiga anak mereka Nur Safwa Irdina Muhammad Rosli, 7, Nur Sofea Rajda Muhammad Rosli, 6 dan bayi lelaki mereka, Muhammad Rizqi yang berusia setahun enam bulan.

Bercerita lanjut, Ramlan berkata Muhammad Rosli sempat memuat naik status di WhatsApp kira-kira jam 11.30 malam tadi bahawa mereka lima beranak sedang dalam perjalanan dari kediaman mereka di Bagan Serai menuju Kuantan.

Katanya, arwah adiknya yang merupakan anak ke-10 dari 13 beradik bekerja sebagai pemandu bas ekspres yang berpangkalan di Parit Buntar manakala Nor Afikah merupakan pembantu tadbir penjawat awam yang bertugas di Bagan Serai.

Katanya, maklumat awal mengenai nahas itu diterima melalui rakan yang mengetahuinya menerusi kumpulan WhatsApp berkaitan automobil.

"Mulanya dimaklumkan hanya Muhammad Rosli yang maut tetapi khabar seterusnya, saya diberitahu kesemua lima beranak itu maut dalam nahas terbabit," katanya.

Ramlan berkata, semua mayat masih dalam proses pengecaman di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan oleh kakaknya yang menetap di Johor dengan lima beranak itu dijangka akan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Labu Kubong, di sini.

"Hasil perbincangan dengan waris keluarga adik ipar (Nor Afikah), mereka bersetuju agar kelima-lima beranak itu dikebumikan di sini dalam satu liang selepas semua proses pengurusan jenazah di Kuantan selesai yang dijangkakan paling awal adalah esok.

"Keadaan (emosi) emak tidak stabil sekarang kerana terlalu sedih memandangkan arwah Muhammad Rosli adalah anak kesayangannya kerana arwah selalu menziarahinya," katanya.

Sementara itu, pemerhatian wartawan mendapati perkarangan rumah ibu kepada Muhammad Rosli mula dipenuhi waris dan ahli keluarga sejak jam 9 malam tadi.

Ahli keluarga yang mula berkumpul sejak jam 9 malam tadi. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI.
Ahli keluarga yang mula berkumpul sejak jam 9 malam tadi. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI.

Laporan Harian Metro.
Laporan Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 11:29 PM