Mohd Yusof Ibrahim. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Mohd Yusof Ibrahim. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Padang Rengas: Mohd Yusof Ibrahim, 35, iaitu abang kepada Muhammad Rosli Ibrahim, 33, yang maut bersama isteri serta tiga anak dalam nahas di Jalan Kuantan-Segamat, semalam mendedahkan arwah adiknya ada mengajak ibu mereka untuk turut sama ke Kuantan, Pahang.

Katanya, bagaimanapun pelawaan Muhammad Rosli itu tidak dipenuhi ibunya, Rakiah Md Noh memandangkan urusan pemergian lima beranak itu ke Kuantan, Pahang adalah berkaitan hal keluarga sebelah isteri Muhammad Rosli, Nor Afikah Abdullah Sani, 35, yang turut maut dalam nahas itu.

"Dia ada juga mengajak emak melalui telefon sebanyak dua kali untuk ke sana namun emak tidak mahu pergi. Apa yang saya tahu selalunya jika ke Pahang lazimnya hanya emak Nor Afikah sahaja yang akan mengikuti mereka berlima.

"Walaupun sebelum ini emak sememangnya jarang ikut ke Pahang, namun beria jugalah arwah mengajak emak pegi untuk kali ini mamun ajakan itu tidak emak penuhi," katanya ketika ditemui pemberita di kampung halaman iaitu di Kampung Labu Kubong, Lubok Merbau, di sini, malam tadi.

Mohd Yusof berkata, pemergian lima beranak itu mengejutkan keluarga terdekat khususnya ibu mereka yang terlalu sedih sehingga tidak bersedia utk ditemu bual memandangkan arwah adiknya itu dianggap anak yang terlalu banyak menabur bakti.

Katanya, arwah merupakan antara anak kesayangan kerana selalu menjenguk kampung halaman khususnya selepas habis penugasan membawa bas ekspres selain ringan tulang kerap melakukan kerja rumah seperti menebas rumput, membakar sampah dan sebagainya.

"Daripada 13 beradik, arwah merupakan anak ke-10 namun dari segi bakti arwah kepada emak, boleh dikatakan kalah adik-beradik yang lain memandangkan hampir setiap kali selesai tugasannya memandu bas, arwah pasti akan singgah ke sini," katanya.

Beliau berkata, sejurus khabar mengenai kemalangan menimpa lima beranak itu diketahui, Rakiah hanya terdiam kerana pada awalnya seperti tidak percaya dan menyangka hanya Muhammad Rosli yang terkorban namun selepas bertanya keadaan cucu, barulah keseluruhan perkara diberitahu kepadanya.

"Emak terkejut dan cakap 'Ya ALLAH anak aku....' Saya dan abang, Ramlan Ibrahim, 37, adalah yang pertama dari kalangan keluarga yang tahu mengenai kejadian itu yang khabar mengenainya diterima menerusi kumpulan WhatsApp.

"Ketika melihat gambar nahas itu, saya terus yakin ia membabitkan keluarga Muhammad Rosli kerana kereta Toyota Corolla itu baharu dibeli beberapa hari lalu daripada jiran sekitar sini.

"Untuk menyedapkan hati, saya hubungi adik namun talian terputus sebelum menghubungi pula adik ipar tetapi tidak berjawab ditambah pula dengan status di WhatsApp Muhammad Rosli sebelumnya menyatakan mereka dalam perjalanan ke Pahang yang justeru membuatkan saya yakin mereka sekeluarga terbabit," katanya.

Beliau berkata, emosi ibunya kini bagaimanapun beransur stabil kerana perlu reda dengan ketentuan Ilahi biarpun pada mula agak sukar menerima hakikat kehilangan anak kesayangan, menantu, serta tiga cucu serentak.

Terdahulu, media melaporkan selain Muhammad Rosli dan Nor Afikah, turut maut dalam nahas itu adalah ketiga-tiga cahaya mata mereka iaitu Nur Safwa Irdina Muhammad Rosli, 7; Nur Sofea Rajda Muhammad Rosli, 6; dan Muhammad Rizqi, 18 bulan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 12:21 PM