ZAHID Hamidi ketika melawat reruai selepas perasmian sambutan Karnival Kerjaya dan Sukan anak muda Madani 1.0. FOTO Bernama
ZAHID Hamidi ketika melawat reruai selepas perasmian sambutan Karnival Kerjaya dan Sukan anak muda Madani 1.0. FOTO Bernama
Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diperkenalkan kerajaan mampu menurunkan kadar kemiskinan negara daripada 3.5 peratus kepada 2.5 peratus.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia kerana TVET bakal menyediakan lebih satu juta pekerjaan.

Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata keyakinan masyarakat terutama ibu bapa kepada TVET juga semakin baik apabila permohonan meningkat sebanyak 3.75 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Peningkatan itu menunjukkan persepsi dan tanggapan masyarakat yang menganggap TVET untuk individu yang tercicir dalam akademik tidak benar, sebaliknya ia mampu menjadi laluan kerjaya pilihan utama kepada para belia.

"Sehingga kini, sejumlah 1,345 buah institusi TVET awam dan swasta yang beroperasi di seluruh negara dengan menawarkan lebih 4,000 kursus membabitkan 12 kementerian.

"Untuk pertengahan tahun ini sehingga pertengahan tahun hadapan sahaja, kita menyediakan 250,000 tempat kepada golongan belia menyertai TVET.

"Justeru, kita memohon golongan belia merebut peluang yang disediakan ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Karnival Kerjaya dan Sukan Anak Muda Madani 1.0, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kadar lepasan TVET yang mendapat pekerjaan juga adalah tinggi sehingga mencecah 94.5 peratus.

"Ini penting kerana negara tidak bergantung kepada pekerja asing," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, 220 syarikat China menawarkan 5,125 kuota kepada pelajar Malaysia untuk menjalani latihan berkaitan TVET bagi jangka pendek, sederhana dan panjang sekali gus menjadi pengubah keadaan dalam melonjakkan industri TVET di Malaysia.

Katanya, tawaran itu adalah hasil jalinan kerjasama antara Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) dengan pihak industri berkaitan TVET di China iaitu Beifang Automotive Education Group dan Tang (M) International Education Group, melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 11:28 AM