AHLI keluarga mangsa menunggu di luar perkarangan Unit Forensik Hospital Kulim sebelum menuntut jenazah tiga beranak yang lemas. FOTO ihsan keluarga
AHLI keluarga mangsa menunggu di luar perkarangan Unit Forensik Hospital Kulim sebelum menuntut jenazah tiga beranak yang lemas. FOTO ihsan keluarga
BALING 26 JUN 2022. Kereta Proton Persona yang dinaiki tiga beranak berjaya ditarik keluar dari dasar sungai Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil. STR/ZULIATY ZULKIFFLI
BALING 26 JUN 2022. Kereta Proton Persona yang dinaiki tiga beranak berjaya ditarik keluar dari dasar sungai Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil. STR/ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jenazah tiga beranak yang meninggal dunia selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani-Baling dijangka dikebumi di Kampung Lengkuas, petang ini.

Menurut adik mangsa, Mohd Asyraf Ibrahim, 34, berkata, bagaimanapun jenazah kakak dan dua anak saudaranya itu kini masih berada di Unit Forensik Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

Katanya, mereka sedang menunggu proses bedah siasat selesai termasuk keputusan Covid-19 untuk membawa pulang tiga jenazah berkenaan ke kampung mereka di sini.

"Sebaik selepas semua urusan di hospital selesai petang ini, kita akan membawa pulang ketiga-tiga jenazah untuk dikebumikan di sini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Asyraf berkata, kakaknya, Masyitoh Ibrahim, 37, adalah anak ketujuh daripada sembilan beradik dan mempunyai hubungan yang rapat dengan ahli keluarga.

Katanya, hubungan mereka sembilan beradik memang sangat rapat malah arwah kakaknya itu seorang yang mengambil berat terhadap adik-beradik yang lain.

"Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku walaupun masih lagi terkejut, " katanya yang tiba di lokasi kejadian pada jam 11.30 malam tadi dan menunggu sehingga operasi menyelamat selesai kira-kira jam 3.30 pagi.

Dalam kejadian semalam, tiga beranak ditemukan lemas selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam sungai di Jambatan Syed Omar, Jalan Sungai Petani - Baling.

Mayat Masyitoh dan dua anaknya, Muhammad Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Muhammad Ziyad Haziq, 5, ditemui dalam keadaan saling berpelukan di bahagian belakang kenderaan itu pada jam 3.30 pagi sebaik kereta itu berjaya ditarik naik oleh sebuah kren dari dasar sungai berkenaan.

Berita berkaitan:

  • Tak sangka kakak pergi dulu [METROTV]
  • Tiga beranak ditemukan lemas dalam sungai [METROTV]
  • Nahas tiga beranak: Kereta jatuh dalam Sungai Muda
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 1:28 PM