Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


PENGANGGUR mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anak perempuan kandungnya yang berusia tujuh tahun, Ahad lalu.

Tertuduh, Mohd Faizal Ramly, 37, bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis Methamphetamine ke dalam tubuhnya pada 11.20 malam, 14 Januari lalu.

Untuk kesalahan itu, Majistret Nurul Asyifa Redzuan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, Mohd Faizal didakwa menyebabkan kecederaan anaknya di sebuah rumah di Kampung Kroh Hilir, Padang Rengas pada 8.20 malam, 2 Ogos lalu.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda daripada sabitan pertama.

Manakala bagi kesalahan memasukkan dadah ke tubuh, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selain, dikenakan pengawasan minimum dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Noridah Dali, semenatara tertuduh diwakili peguam Nurul Syuhada Mohd Yusof dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin bagi kesalahan mencederakan anak dan menetapkan 7 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Terdahulu, ketika berada di kandang tertuduh, Mohd Faizal dilihat merayu supaya isterinya yang berada dalam mahkamah menarik kembali laporan polis berhubung kesalahan mencederakan anak mereka.

Media sebelum ini melaporkan, lelaki itu didakwa menghempas anak perempuannya ke lantai hingga cedera di dahi dan bengkak kepala disebabkan berang diganggu ketika makan malam.

MOHD Faizal dibawa keluar dari pekarangan Mahkamah Kuala Kangsar selepas mengaku tidak bersalah mencederakan anaknya. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
MOHD Faizal dibawa keluar dari pekarangan Mahkamah Kuala Kangsar selepas mengaku tidak bersalah mencederakan anaknya. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.

Berita berkaitan:

  • Hempas anak ke lantai hanya kerana minta air
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 12:16 PM