MINYAK masak paket. FOTO arkib NSTP
MINYAK masak paket. FOTO arkib NSTP
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Peniaga sekitar daerah ini tidak mempunyai pilihan melainkan menaikkan harga makanan sekiranya harga minyak masak botol lima kilogram (kg) terus meningkat dan sukar memperoleh minyak paket sekilogram.

Penjaja ayam goreng, Mohamad Azim Ibrahim, 26, berkata, disebabkan itu dia berharap kerajaan mengambil langkah segera termasuk mengkhususkan minyak masak paket hanya untuk kegunaan peniaga.

Katanya, walaupun masih boleh memperoleh bekalan minyak masak paket di kedai runcit, tetapi bekalannya agak terhad dan sukar menampung keperluannya iaitu tujuh kilogram sehari.

"Sehari saya perlu menggoreng kira-kira 500 ketul ayam yang dijual RM1 setiap ketul. Sejak berniaga pada 2014, minyak masak botol sudah jadi pilihan saya dan merasai beberapa kali kenaikan harga termasuk dua kali dalam tempoh kurang setahun, akhir-akhir ini.

"Untuk kurangkan kos, saya kini terpaksa guna minyak masak paket dan dalam keadaan sekarang, sangat wajar jika minyak jenis ini diberi keutamaan untuk peniaga kecil seperti saya," katanya ketika ditemui.

MOHAMAD Azim Ibrahim. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MOHAMAD Azim Ibrahim. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Bagi peniaga ayam gunting, Akhirudin Salleh, 57, peniaga kedai runcit perlu lebih bertanggungjawab dan memainkan peranan ketika menjual minyak masak paket.

"Selain peniaga kecil, minyak masak paket diperlukan golongan B40, jadi peruncit perlu jual untuk mereka juga dan tidak boleh simpan stok.

"Bukan semua orang mampu beli minyak tiga atau lima kilogram sekali gus, peruncit perlu seimbangkan jualan agar semua orang dapat keperluan ini," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di sebuah pasar raya di sini, mendapati tiada bekalan minyak masak paket sekilogram sebaliknya, rak minyak masak dipenuhi stok jenis botol lima kilogram.

Difahamkan, ketiadaan bekalan minyak masak paket itu sudah berlarutan sejak dua minggu lalu.

AKHIRUDIN Salleh. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
AKHIRUDIN Salleh. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 4:04 PM