Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Lenggong: "Saya ingatkan letupan dari kebun durian di kawasan berbukit berhampiran, rupa-rupanya di kawasan rekreasi ini," kata pekerja pembersihan Hutan Lipur Lata Kekabu di sini yang mahu dikenali Sabri, 50.

Pekerja itu mengulas kejadian letupan bom ikan buatan sendiri di kawasan air terjun itu pada 3.12 petang semalam, yang menyebabkan Amirudin Khairudin, 44, maut dan rakannya berusia 40 tahun parah.

Kata Sabri, dia biasa mendengar bunyi letupan di kawasan kebun kerana gema yang terhasil dan tidak menyangka letupan bom berlaku di tempatnya bekerja.

Menurutnya, ketika kejadian itu, dia sedang membersihkan chalet terletak kira-kira 600 meter dari lokasi letupan yang dikatakan berhampiran empangan di hujung tapak perkelahan.

PAPAN tanda larangan memancing di kawasan Hutan Lipur Lata Kekabu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
PAPAN tanda larangan memancing di kawasan Hutan Lipur Lata Kekabu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.

"Keadaan jadi gamat selepas mangsa letupan yang berlumuran darah dibawa keluar dari situ," katanya ketika ditemui hari ini.

Sabri berkata, empangan sungai di situ adalah kawasan larangan dan berpagar, namun dakwanya ia masih boleh diceroboh berikutan banyak pagar berlubang.

Rakan sekerjanya, Rosli, 64, berkata, mereka hanya bertugas membersihkan kawasan dan hanya melaporkan kepada pengawal keselamatan sekiranya melihat mana-mana pihak mencurigakan.

"Siapalah kami untuk menegur dan menghalang orang yang menangkap ikan dengan cara itu. Di sini ada pengawal keselamatan yang bertugas sebelah petang hingga pagi," katanya yang mendakwa beberapa kali melihat orang membawa mercun untuk menangkap ikan.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hasan Basri ketika dihubungi berkata, pihaknya percaya bom buatan seperti mercun bola yang digunakan mangsa meletup sebelum sempat digunakan.

Katanya, lokasi kejadian juga tidak jauh dari tapak perkelahan yang sering dikunjungi orang ramai.

"Kes dalam siasatan dan kita mahu mangsa (parah) dapatkan rawatan hingga stabil untuk meneruskan siasatan. Polis juga mempergiat lagi pemantauan di kawasan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 2:31 PM