Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan mengambil suapan berjumlah RM250 antara Disember 2019 hingga Januari tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Hadi Abu Bakar, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, S Indra Nehru.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Bahagian MPV (8), Bahagian Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM50 daripada Muhammad Hafizuldin Hamzah, 25, di tempat letak kereta di Taman D.R. Seenivasagam, di sini kira-kira jam 2 pagi, 30 Disember 2019.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memperoleh suapan wang tunai RM200 sekali lagi daripada Muhammad Hafizuldindi di sebuah restoran di Jalan Kamaruddin Isa, di sini, antara jam 12.30 hingga 12.45 tengahari pada 5 Januari 2020.

Kedua-dua suapan itu adalah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan berhubung hal ehwal prinsipal tugas tertuduh iaitu dengan tidak membawa Muhammad Hafizuldin dan seorang wanita berusia 19 tahun ke balai polis atas kesalahan khalwat.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziyah Mansor dengan tertuduh diwakili peguam, Sheikh Mohd Nasir.

Hakim membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Abdul Hadi (bertopi) ketika di Mahkamah Sesyen di sini,  hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
Abdul Hadi (bertopi) ketika di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 10:55 AM