Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi memberitahu Mahkamah Tinggi semalam, beliau menyatakan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa kuburnya akan banjir keesokannya jika beliau keluar daripada parti Umno untuk menyertai Bersatu.

Ahmad Zahid berkata, perkara itu dinyatakan beliau kepada Dr Mahathir ketika itu Perdana Menteri yang dilantik semula dalam satu perjumpaan empat mata selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Jun 2018.

"Saya menolak (permintaan Dr Mahathir) untuk membubarkan Umno. Saya katakan padanya (Dr Mahathir), jika ditakdirkan saya menyertai Bersatu selepas diberi kepercayaan menjalankan tugas sebagai Presiden, esoknya (apabila) saya mati, kubur saya akan banjir. Sebab itu saya tidak rela dan reda Umno terkubur.

"Saya beritahu secara baik yang saya tidak rela Umno dikuburkan tanpa nisan dan terkubur begitu sahaja," katanya ketika membela diri terhadap tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan haram dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.

Ketika disoal peguam belanya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal mengapa kuburnya akan banjir, Ahmad Zahid menjawab; "ada 3.8 juta ahli Umno akan datang ke kubur saya dan kencing atas kubur saya sebab itu akan banjir," katanya.

Terdahulu, Presiden Umno itu berkata, dalam perjumpaan terbabit, Dr Mahathir memintanya membubarkan Umno dan meminta semua ahli parti menyertai Bersatu di atas nama Melayu.

Beliau berkata, Dr Mahathir memberitahunya bahawa Umno tiada masa depan, telah mati dan ditolak orang Melayu dan beliau masih mengingati kata-kata Dr Mahathir bahawa Umno adalah parti tidak boleh dipercayai, perompak dan perasuah serta terlalu jijik dan kotor.

"Beliau (Dr Mahathir) minta supaya Umno dibubarkan dan semua ahlinya menyertai Bersatu serta melupakan parti itu. Saya menolak menyertai Bersatu bukan hanya itu tetapi saya menyatakan 'selagi hayat dikandung badan, saya tidak pernah akan membubarkan Umno," katanya ketika membela diri terhadap tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan haram dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.

Mengimbas kejadian itu Ahmad Zahid berkata, perjumpaan terbabit disampaikan oleh dua orang wakil iaitu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman yang menyatakan bahawa Dr Mahathir berhasrat untuk berjumpanya.

Katanya, beliau ketika itu tidak terbuka untuk menemui Dr Mahathir walaupun sudah dilantik sebagai perdana menteri sehinggalah beliau didatangi pada kali ketiga.

Bagaimanapun, ketika pertemuan itu, Ahmad Zahid berkata, Dr Mahathir sebaliknya menyatakan bersedia bertemu dengan sesiapa sahaja kerana kononnya beliau (Ahmad Zahid) yang mahu berjumpa dengannya.

"Banyak kali kenyataan sebelum ini kononnya saya memohon hendak jumpa Tun Mahathir tetapi hakikatnya, mereka (wakil) yang meminta saya jumpa Tun. Ini disahkan oleh Hamidah sendiri, bermakna Hamidah menyatakan yang benar tetapi Khairuddin pesongkan fakta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 5:20 PM