NURULHIDAYAH, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
NURULHIDAYAH, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid & Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Anak kepada Presiden Umno Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas tanpa membebaskan bapanya bukan pengakhiran kepada penantian oleh keluarganya.

Sebaliknya, Nurulhidayah menyatakan keputusan yang diperoleh hari ini satu permulaan dan beliau turut menzahirkan kesyukuran.

"(Penantian selama ini) belum lagi (berakhir). Ini satu permulaan, bukan pengakhiran," katanya ketika ditemui di lobi Mahkamah Tinggi hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi membuat keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Umno Datuk Dr Noraini Ahmad menyatakan keputusan Mahkamah Tinggi pada hari ini tidak sama sekali akan menjejaskan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pulai dan Simpang Jeram.

Beliau berkata, keputusan ini juga akan melonjakkan lagi semangat jentera Umno dan BN untuk bekerja kuat bagi membantu memenangkan calon di dua PRK itu.

"(Keputusan ini) tak sama sekali (menjejaskan PRK). Kempen pilihan raya akan dibuat seperti biasa. Insya-Allah, jentera Umno akan bekerja kuat untuk membantu memenangkan calon," katanya.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan pula menyatakan parti itu bersyukur dengan keputusan dibuat Mahkamah Tinggi terhadap Ahmad Zahid.

Dakwanya, sejak daripada awal parti itu yakin dan percaya bahawa Ahmad Zahid adalah mangsa pendakwaan politik yang dilakukan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik kali kedua sebagai Perdana Menteri ketujuh sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Lebih mendukacitakan, kezaliman terhadap Ahmad Zahid berlaku hanya beberapa minggu selepas Dr Mahathir selaku Pengerusi Parti Bersatu waktu itu mengancam supaya Presiden Umno membubarkan parti dalam pertemuan yang diakui sendiri oleh bekas Perdana Menteri itu dalam satu temuramah media.

"Ini diperkukuhkan lagi dengan pendedahan berani dan berbaur angkuh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dalam buku memoirnya My Story: Justice in the Wilderness yang dengan jelas memperakui terbabit secara langsung dalam mengatur beberapa pendakwaan terpilih terhadap individu politik berpengaruh bersama Dr Mahathir waktu itu," dakwanya.

Beliau turut menyatakan, di bawah Kerajaan Perpaduan, segala pendakwaan politik yang memperalatkan institusi-institusi yang menjadi benteng kepada sistem keadilan negara tidak lagi berulang.

Katanya, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya perlu terus bebas serta berani melaksanakan amanah mereka.

"Tanpa rasa takut dan pilih kasih terhadap mana-mana pihak termasuklah terhadap pimpinan dan ahli Umno sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 3:11 PM