Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak berhasrat mempelbagaikan sumber pendapatan melalui agropelancongan dan meneroka peluang perniagaan berkaitan dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan petani seterusnya mengurangkan kadar kemiskinan.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, agropelancongan memainkan peranan penting dalam Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang menjadi asas untuk meletakkan Sarawak sebagai negeri maju.

Beliau berkata, ia memberi tumpuan kepada keterangkuman sosial dan memacu faedah ekonomi serta sosial untuk semua rakyat Sarawak.

"Justeru, kerajaan Sarawak komited untuk menyokong sepenuhnya pembangunan sektor agropelancongan menerusi PCDS 2030," katanya dalam teks ucapan pada perasmian Persidangan dan Ekspo Agropelancongan Sarawak 2023 (SatCE 2023) di sini, hari ini yang dibacakan Timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah.

Persidangan tiga hari itu merangkumi topik seperti trend global dan dasar serantau dalam agropelancongan, pelancongan regeneratif, pengeluaran makanan berasaskan komuniti, pelancongan ladang dan petunjuk kemampanan.

Ia juga akan membentangkan gambaran keseluruhan pertanian di Sarawak dan kajian kes agropelancongan dari New Zealand, Australia, Indonesia dan Filipina.

Mengulas lanjut Abang Johari berkata, potensi agropelancongan Sarawak masih di peringkat awal dengan ladang, infrastruktur dan kemudahan boleh dipromosikan secara strategik untuk meletakkan negeri ini di barisan hadapan dalam agropelancongan.

"Dengan menawarkan produk pelancongan yang tersendiri dan unik, ia meningkatkan pengiktirafan Sarawak melebihi tawaran biasa dalam pelancongan.

"Sarawak berpotensi menawarkan pengalaman agropelancongan yang kaya dan tulen untuk menarik pelancong berpendapatan tinggi yang akan untuk menikmati hasil pertanian, masakan dan tradisi," katanya.

Menurutnya lagi, agropelancongan juga adalah satu cara untuk memartabatkan masyarakat setempat dan memudahkan pembangunan luar bandar.

"Pelancongan berasaskan komuniti iaitu sebahagian daripada agropelancongan, akan memperkasakan penduduk tempatan apabila membabitkan mereka secara langsung dalam aktiviti pelancongan.

"Pembabitan ini bukan sahaja membawa faedah ekonomi tetapi juga memperkukuh nilai memelihara persekitaran pertanian, ekologi dan budaya kita," katanya.

Mengenai SatCE 2023, Abang Johari berkata, Sarawak menyasarkan untuk menarik pelaburan dalam agropelancongan bagi menggalakkan pembangunan infrastruktur baharu, penginapan, pengeluaran makanan dan perkhidmatan pelancongan.

"Ini akan meningkatkan pembangunan luar bandar, penyertaan masyarakat dan mewujudkan peluang pekerjaan sama ada sepenuh masa atau sambilan, mewujudkan pasaran pekerjaan baharu untuk graduan universiti dan lepasan sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 2:18 PM