Ahmad Hasbi

Seremban: Koperasi yang menjalankan perniagaan dalam sektor pertanian dan perladangan digalak menyertai federasi koperasi bagi menghasilkan pulangan yang lebih lumayan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya berkata, gabungan akan membantu dalam pengumpulan modal, kepakaran dan sumber lain, yang membolehkan koperasi terbabit memberi hasil pada skala besar.

"Konsep federasi ini maksudnya dua atau tiga koperasi yang menjalankan perniagaan yang sama contohnya penternakan lembu kita gabungkan supaya mereka boleh mengeluarkan input yang lebih besar.

"Ia seterusnya dapat memperkukuhkan daya saing sesebuah koperasi berlandaskan prinsip keenam iaitu bekerjasama di antara koperasi," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2022 peringkat Negeri Sembilan sempena Sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi di Malaysia di sini, hari ini.

Muslimin berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) ketika ini memberi tumpuan terhadap sektor pertanian dan perladangan sebagai langkah menghadapi krisis makanan negara.

MUSLIMIN Yahaya (tiga kiri) menyampaikan Anugerah Koperasi Terbaik kepada Koperasi Peserta-Peserta Felcra Kawasan Kerangai Penagoh Negeri Sembilan Berhad pada Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2022  Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi. FOTO Azrul Edham
MUSLIMIN Yahaya (tiga kiri) menyampaikan Anugerah Koperasi Terbaik kepada Koperasi Peserta-Peserta Felcra Kawasan Kerangai Penagoh Negeri Sembilan Berhad pada Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2022 Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi. FOTO Azrul Edham

Katanya, terdapat lebih 50 koperasi terbabit sektor itu dan kementerian memberi jaminan akan mengutamakan koperasi berkenaan sekiranya perlu memohon pembiayaan.

"Hari ini masalah paling besar kita adalah peningkatan harga ayam kerana dikatakan input makanan sangat mahal, maka Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) sudah mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara untuk mengusahakan tanaman jagung bijirin skala besar," katanya.

Katanya, setiap hektar mampu mengeluarkan lima tan jagung bijiran dan menampung 20 peratus keperluan jagung bijirin import.

Dalam pada itu, lapan koperasi menerima Bantuan Pembangunan Koperasi berjumlah RM405,000 daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 4:33 PM