Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Siti Rohana Idris


Tumpat: "Kedua belah tangan adik masih berbalut dan saya difahamkan satu jarinya putus dan tidak pasti sama ada pembedahan untuk menyambungnya berjaya atau tidak," kata kakak kepada mangsa tikaman suami dalam kejadian di Chabang Empat, di sini, petang Selasa lalu.

Dia berkata, adiknya yang berusia 26 tahun itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu dan keadaannya masih serius walau sudah sedarkan diri.

"Saya sudah melihat keadaannya petang semalam dan dia sangat lemah kerana kehilangan banyak darah.

"Dia juga tidak bercakap dan saya ada memberitahu bahawa sangat sayangkannya dan mahu dia cepat sembuh tapi tiada respon seolah dalam dunianya sendiri.

"Selain adik, saya turut risaukan keadaan emak yang masih trauma dengan kejadian itu dan kerap meracau kerana ketakutan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.35 petang Selasa lalu, suspek berusia 27 tahun bertindak menikam isteri dan ibu mentuanya, 60-an dipercayai akibat perselisihan faham.

Isteri suspek parah dengan kecederaan di bahagian kepala dan beberapa anggota badan termasuk kedua belah tangan hampir putus manakala ibu mentua pula cedera di kepala dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Suspek yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan di Lembah Sireh, Kota Bharu pagi kelmarin apabila pihak berkuasa menerima maklumat berkaitan suspek yang menyembunyikan diri di lokasi itu.

Suspek yang memiliki empat rekod lampau ditahan reman selama tiga hari bermula semalam sehingga esok mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan (KK) untuk kesalahan menceroboh dan selepas itu reman disambung atas kesalahan mendatangkan kecederaan.

Berita berkaitan:

  • Kedua-dua tangan isteri hampir putus ditetak suami
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 2:20 PM