LOKASI kejadian. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
LOKASI kejadian. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


SUSPEK yang menetak suami isteri di Taman Kobena, Tampoi, Johor Bahru, semalam dipercayai memasuki memasuki rumah mangsa melalui balkoni di tingkat satu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata, ia berdasarkan tiada sebarang kesan umpil atau pecah masuk.

Malah katanya, tiada sebarang kesan selongkar pada mana-mana bahagian dalam rumah.

“Hasil siasatan awal, suspek hanya berseluar dalam, memakai penutup muka dan tidak berbaju.

“Mangsa ditetak di balkoni rumahnya selepas melihat suspek di tangga dalam rumah... seperti menunggu seseorang.

“Suspek dengan tiba-tiba menuju ke arah mangsa lalu menetaknya beberapa kali. Mangsa menjerit dan meminta tolong di luar balkoni,” katanya.

Mohd Taib berkata, mangsa berada dalam keadaan stabil dan perlu mendapatkan rawatan susulan.

Beliau berkata, ia berikutan mangsa mengalami patah tulang pada bahagian tangan kanan dan juga mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga pemilik restoran, Mohamad Omar, 67 dan isterinya, Masiah Osman, 61, parah ditetak beberapa kali dengan parang.

Mohamad dipercayai ditetak hampir 10 kali di kepala dan kedua-dua tangan patah.

Masiah pula ditetak di kepala dengan telinga hampir putus.

Berita berkaitan

Tauke restoran, isteri parah ditetak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 5:19 PM