Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sikap dan pendirian Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang bercanggah dengan parti antara punca beliau digugurkan daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mana-mana ahli MKT seharusnya mematuhi ketetapan dan keputusan dibuat berdasarkan perlembagaan parti.

"Kita boleh berbeza pendapat dalam perbincangan atau mesyuarat tetapi jika sesuatu keputusan itu dibuat ia adalah keputusan parti.

"Kita kena ikut apa diputuskan parti bukan sebaliknya.

"Saya fikir kena tanya beliau sendiri (punca). Apa kenyataan beliau telah buat, apakah bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan-bahan yang beliau nyatakan dalam mesyuarat tertutup," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian BN Youth Job Fair (BNYJF) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas punca Tajuddin digugurkan daripada MKT Umno.

Mengulas sama, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan, pengguguran itu membolehkan Tajuddin memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

"Tugas sebagai ahli MKT apabila hampir Pilihan Raya Umum (PRU) juga memerlukan sepenuh masa kerana mungkin MKT diminta meneliti banyak perkara dalam biro tertentu.

"Bagaimana Tajuddin hendak sepenuh masa sebagai duta dan ahli MKT tentunya menyukarkan tugasnya.

"Jadi, untuk berlaku adil kepada beliau, amanah kepada negara paling utama dan pertama lebih-lebih lagi Indonesia negara jiran sangat penting dan hubungan perlu diakrabkan dan tidak mahu diganggu dengan tugas ahli MKT," katanya.

Semalam, Ahmad mengesahkan Tajuddin digugurkan daripada MKT Umno selepas surat keputusan berkenaan yang bertarikh 21 Jun tular.

Sebelum ini, Tajuddin digugurkan sebagai pengarah pilihan raya Umno.

Beliau juga dilihat sering bercanggah pendapat dengan kepimpinan tertinggi parti dalam beberapa isu termasuk tempoh waktu mengadakan PRU ke-15.

AHMAD Zahid beramah mesra dengan peserta pameran BNYouth Job Fair. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
AHMAD Zahid beramah mesra dengan peserta pameran BNYouth Job Fair. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 2:14 PM