Sidang media Tajuddin, semalam. FOTO EIZAIRI
Sidang media Tajuddin, semalam. FOTO EIZAIRI
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Majlis Tertinggi (MT) Umno akan menimbang dan memutuskan saranan Lembaga Disiplin jika lembaga itu mendapat laporan atau permintaan supaya diadakan siasatan untuk mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau perlu menghormati perlembagaan parti kerana terdapat Lembaga Disiplin.

Menurut Ahmad Zahid, beliau menyerahkan kepada akar umbi untuk membuat penilaian sewajarnya terhadap kedudukan Tajuddin.

"Apa sahaja yang dikatakan oleh beliau sama ada ia tidak benar atau ada sedikit kebenaran, saya serahkan kepada ahli Umno terutama di akar umbi untuk membuat penilaian sewajarnya terhadap kedudukan seseorang itu sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT)," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas prosiding perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dihadapinya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perjumpaan membabitkan gerakan untuk memintanya berundur secara baik sebagai Presiden Umno.

"Kita mesti menghormati perlembagaan parti, jika seseorang itu dipilih oleh perwakilan maka jika ada sesuatu permintaan, maka ada peraturan parti yang membolehkan atau tidak membolehkan seseorang itu berada di sesuatu jawatan.

"Saya menghormati apa juga kenyataan yang dikeluarkan tetapi pokoknya bahawa beliau (Tajuddin) tidak lagi menjadi Ahli MT.

"Beliau dilantik sebagai ahli MT atas rayuan selepas kalah naib presiden, maka pelantikan itu mengikut fasa dalam perlembagaan yang memberi kuasa kepada presiden untuk melantik seseorang yang asalkan sebagai ahli untuk duduk sebagai ahli MT.

"Jadi terpulang mengikut klausa (perlembagaan) berkenaan sama ada untuk melantik atau menamatkan atau menggantikan tempat yang kosong itu dengan seseorang lain mengikut klausa dalam perlembagaan Umno," katanya.

Semalam Tajuddin mendakwa wujudnya akuan bersumpah (SD) dalam kalangan Ahli Parlimen Umno bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Beliau juga mendedahkan gerakan untuk meminta Ahmad Zahid secara baik berundur daripada jawatan presiden yang sudah dibincang pada Mei 2020.

Katanya, gerakan itu diketuai Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut disertai Datuk Seri Najib Razak ketika itu.

Tajuddin dipecat dari MKT Umno beberapa hari lalu berikutan tindakan Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu yang dikatakan mengkritik parti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 6:48 PM