Laporan Harian Metro.
Laporan Harian Metro.
Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


Sentul: Siasatan awal polis mendapati kanak-kanak yang maut terjatuh dari tingkat 10 sebuah kondominium di Jalan Dutamas, di sini, memanjat tab mandi di bilik air sebelum keluar dari tingkap tandas.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai sebagai berkata, polis menerima panggilan kejadian pada 3.30 petang.

"Berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak itu ditemui terjatuh di tingkat tiga bangunan berkenaan.

"Ketika kejadian ibu mangsa berada di ruang tamu dan hanya mereka berdua berada di rumah sebelum kejadian," katanya kepada media selepas sesi Town Hall berhubung isu online scammer oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) 2, Kepong, di sini, hari ini.

Eng Lai berkata, kanak-kanak terbabit dipercayai masuk ke dalam bilik air dan memanjat tab mandi, naik ke atas tembok, lepas itu keluar ikut tingkap dan terjatuh.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Kita akan merekodkan keterangan ibu mangsa nanti bagi membantu siasatan kerana keadaannya masih belum stabil dan menangis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 6:25 PM