GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dipercayai akibat didera pengasuh.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis menerima laporan kematian mangsa di sebuah kondominium di Jalan Ipoh di sini, pada jam 2.45 petang semalam.

"Polis ke lokasi dan menemui mangsa dalam keadaan terbaring atas katil dan lengkap berpakaian.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan calar dan lebam di beberapa bahagian badan serta kaki mangsa.

"Kematian mangsa disahkan oleh pegawai paramedik yang berada di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Eng Lai berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Susulan itu, katanya, polis turut menahan pengasuh dan dua anaknya berusia 22 hingga 61 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 10:00 AM