LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini.
Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Caves, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau berkata, dalam kejadian 10.30 pagi itu, ibu mangsa yang juga ibu tunggal tiada di rumah kerana keluar atas urusan lain.

"Mangsa ditinggalkan bersama adik lelaki berusia empat tahun dan ibu saudara berusia 36 tahun.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai bermain dan memanjat sebuah katil yang berada di tepi tingkap. Kita percaya mangsa terjatuh dari tingkap itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati tingkap berkenaan tidak dipasang jeriji.

Menurutnya, kes terbabit berkaitan kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Berita berkaitan

'Budak lelaki maut terjatuh tingkat 16 kondominium'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 8:56 PM