OPERASI mencari dan menyelamat dua remaja lelaki yang dikhuatiri lemas. FOTO Ihsan Bomba.
OPERASI mencari dan menyelamat dua remaja lelaki yang dikhuatiri lemas. FOTO Ihsan Bomba.
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Dua remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Machang, Limbat, di sini, petang hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Hafiz, 17 dan Mohd Lokman, 18, yang juga pelajar sebuah pondok di Pasir Tumboh di sini, ke sungai berkenaan bersama sembilan lagi rakan lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, El Taraff Mohd Zachariah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 7.16 malam.

"Enam anggota BBP Pasir Tumboh serta lapan dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Pengkalan Chepa bergegas ke lokasi.

"Menurut seorang saksi, dua mangsa itu dilihat kali terakhir di dalam sungai pada 6.45 petang sebelum tenggelam.

"Anggota PPDA menjalankan selaman serta pencarian dibuat di permukaan sungai dalam radius 200 meter sekitar mangsa tenggelam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Seorang rakan mangsa, Abid Ataullah, 15, berkata, mereka ke sungai itu selepas waktu Asar kerana ingin bersiar-siar.

Katanya, sebaik tiba, kesemua 10 rakannya turun ke sungai untuk mandi kecuali dia yang hanya memerhatikan dari tebing.

"Kira-kira 10 minit, kedengaran bunyi bising dalam kelompok mereka yang sedang mandi dan terdengar suara meminta tolong.

"Saya terus memanggil mereka supaya naik ke tebing, sebelum melihat dua rakan terkapai-kapai dalam sungai dan perlahan-lahan tenggelam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 11:52 PM