Anggota bomba mengusung mayat Mohd Norazmie yang ditemukan lemas di Sungai Pengkalan Datu, Pasir Tumboh di sini, petang semalam. Foto Ihsan Pembaca
Anggota bomba mengusung mayat Mohd Norazmie yang ditemukan lemas di Sungai Pengkalan Datu, Pasir Tumboh di sini, petang semalam. Foto Ihsan Pembaca
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental ditemukan terapung dalam Sungai Pengkalan Datu, Pasir Tumboh di sini, petang semalam.

Mangsa, Mohd Norazmie Mohd Kasim, 37, ditemui orang ramai yang ternampak mayat itu di bawah jambatan kira-kira 20 meter dari tebing sungai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai pada 6.30 petang yang memaklumkan penemuan itu.

"Menurut adik mangsa, abangnya itu memang selalu keluar berjalan-jalan dan akan pulang ke rumah mereka yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, abangnya tidak pulang sejak Khamis lalu dan dia bertindak mencari namun tidak ditemui sebelum dikejutkan dengan penemuan jasad abangnya dalam sungai petang semalam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, pemeriksaan fizikal mangsa tidak menemui sebarang kecederaan luaran dan juga tiada unsur jenayah.

Menurutnya, mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai kematian mengejut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, Penolong Penguasa Bomba, El Taraff Mohd Zachariah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.10 malam dan seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi.

"Sebaik tiba, terdapat seorang mangsa terapung di tengah sungai dalam jarak 20 meter dari tebing.

"Operasi mengangkat mangsa dimulakan pada 7.45 malam dan diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 8:14 AM