ROHANI (kiri) menerima sumbangan daripada Perkeso dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik. FOTO Rosli Ilham
ROHANI (kiri) menerima sumbangan daripada Perkeso dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Dungun: Seramai 35,000 penerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) di seluruh negara sudah dicarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sejak ia diperkenalkan tahun lalu.

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Yusoff Othman berkata, daripada jumlah itu, 55 nelayan sudah mendapat manfaat caruman membabitkan pampasan berjumlah RM91,149.

"SKSPS ini sangat baik untuk nelayan dan mereka akan dilindungi sama ada ketika berada di darat atau di tengah laut.

"Nelayan yang terbabit kemalangan atau bencana menerima manfaat skim dalam tempoh singkat," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Rohani Hashim, 60, di rumahnya di Jalan Bunga Raya di sini, hari ini.

Rohani adalah balu kepada nelayan, Mohd Noor Mamat, 67, yang meninggal dalam tragedi bot karam di muara Kuala Dungun pada 21 September lalu.

Rohani turut menerima Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan berbentuk pencen RM567 sebulan seumur hidup daripada Pengarah Perkeso Negeri Terengganu Farihah Che Hussin.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura Wan Hapandi Wan Nik.

Yusoff berkata, pihaknya akan berusaha supaya kira-kira 55,000 lagi nelayan yang tidak menerima ESHN untuk mencarum dalam skim terbabit.

"Kita akan turut menggerakkan usaha dengan kerjasama Perkeso supaya kesemua hampir 90,000 Ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh negara turut mencarum dalam SKSPS.

"Melalui SKSPS, orang tanggungan atau waris layak mendapat faedah orang tanggungan jika pencarum meninggal dunia akibat bencana kerja. Skim ini akan menggantikan caruman insurans nelayan berkelompok LKIM yang dibuat sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 5:36 PM