AL-SULTAN Abdullah (dua kanan) berkenan mewasalkan pemasyhuran Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu. FOTO Bernama
AL-SULTAN Abdullah (dua kanan) berkenan mewasalkan pemasyhuran Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu. FOTO Bernama
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 di sini, hari ini.

Pemasyhuran itu disempurnakan Canselor UiTM, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tengku Permaisuri Norashikin dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor UiTM bermula 18 Oktober 2021 hingga 17 Oktober 2024.

Al-Sultan Abdullah dalam titahnya menzahirkan rasa bertuah dan berbesar hati untuk menyempurnakan pemasyhuran Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu.

Titah baginda, pemasyhuran Tengku Permaisuri Selangor sebagai Pro-Canselor universiti yang mempunyai nilai warisan sejarah yang sarat ikatan pertalian dengan Negeri Selangor amat bertepatan.

"Semoga dengan pemasyhuran ini akan membuka lembaran baru bagi UiTM untuk terus dimartabatkan sebagai institusi pengajian awam yang unggul di negara," titah baginda.

Seramai 27,287 graduan akan menerima ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing pada Istiadat Konvokesyen bermula hari ini hingga 6 Julai ini

Sidang pertama istiadat turut menyaksikan Al-Sultan Abdullah menganugerahkan ljazah Doktor Falsafah kepada 89 graduan dalam pelbagai bidang dan 14 penerima Anugerah Graduan Terbaik 2022.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 12:38 PM