TENGKU Permaisuri Norashikin (kanan) berkenan menyampaikan Anugerah Hadiah Buku Inovasi MTDC Doktor Falsafah (Pengangkutan dan Logistik) kepada Dr Anis Mardiana Abdullah pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95. FOTO Bernama
TENGKU Permaisuri Norashikin (kanan) berkenan menyampaikan Anugerah Hadiah Buku Inovasi MTDC Doktor Falsafah (Pengangkutan dan Logistik) kepada Dr Anis Mardiana Abdullah pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95. FOTO Bernama
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Inisiatif memanfaatkan teknologi tinggi dan pertumbuhan berasaskan digital dilihat sebagai solusi isu pengangguran belia, kebolehpasaran siswazah, perlindungan pekerja serta pembangunan bakat.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, ia sekaligus dapat meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan taraf hidup sesebuah keluarga.

"Untuk itu, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara perlu memastikan perangkaan pelan pengajian selari dengan permintaan pasaran terutama dalam bidang yang boleh membentuk masa depan negara.

"Bahkan, saya pasti UiTM melihat perkara ini lantas mengambil inisiatif dengan merangka program baharu itu.

"Hasrat kita ialah untuk melihat graduan mendapat pekerjaan sekaligus membantu meningkatkan ekonomi keluarga," titah Tengku Permaisuri Norashikin.

Tengku Permaisuri Norashikin selaku Pro-Canselor UiTM menzahirkan titah ucapan sempena Istiadat Konvoksyen UiTM ke-95 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, di sini hari ini.

Baginda berangkat ke Sidang Pertama istiadat itu mewakili Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Tuanku Canselor UiTM.

Dalam titah ucapan itu juga, Tengku Permaisuri Norashikin percaya UiTM akan terus relevan bagi membangunkan pendidikan bumiputera sesuai dengan asas penubuhannya 61 tahun lalu.

"Bagi membina masa depan anak-anak bumiputera, dari tahun 2020 hingga 2022, saya difahamkan UiTM merangka dan menawarkan 41 program baharu di peringkat Sijil, Diploma, Sarjana Muda dan Pascasiswazah dalam bidang yang dikenal pasti memerlukan tenaga kerja mahir dalam usaha memacu Malaysia ke arah negara maju.

"Penawaran program baharu amat penting dalam menambahkan jumlah bumiputera profesional di negara ini.

"Matlamat penubuhan universiti ini perlu dipenuhi agar keseimbangan guna tenaga dapat diwujudkan terutamanya untuk membantu anak-anak golongan B40 dan M40 dalam sektor pekerjaan," titahnya.

Menurut baginda, dalam usia 61 tahun UiTM melahirkan ribuan sarjana, ilmuan, cendekiawan dan pemimpin, yang mengemudi negara melalui pelbagai cabaran.

"UiTM adalah universiti utama pilihan ibu bapa dan pelajar kerana kemampuannya untuk menyerlah potensi dan membentuk masa depan pelajar.

"UiTM juga menjadi tumpuan kerjasama daripada syarikat-syarikat besar seperti Talentcorp dan Talentbank dalam pelbagai aktiviti yang boleh membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan dari universiti ini," titahnya.

Tengku Permaisuri Norashikin turut merakamkan ucapan tahniah kepada 31,220 graduan yang berjaya menamatkan pengajian mereka di UiTM pada konvoksyen kali ini.

"Dalam sidang pertama ini, seramai 116 graduan Ijazah Kedoktoran menerima skrol masing-masing sebentar tadi.

"Tahniah juga diucapkan kepada ibu dan bapa di atas kejayaan anak-anak yang disayangi," titah baginda.

Sementara itu, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah di atas penganugerahan Profesor Emeritus kepada Datuk Dr Ow Chee Sheng yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat khusus dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

"Penganugerahan ini amat bertepatan dengan kepakaran dan sumbangan beliau kepada UiTM dan negara," titahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 1:16 PM