TUNKU Ismail dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM pada Istiadat Pemasyhuran Canselor, Pro-Canselor dan Konvokesyen Ke-22 di Dewan Sultanah Ibrahim UTHM, hari ini. FOTO ihsan UTHM
TUNKU Ismail dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM pada Istiadat Pemasyhuran Canselor, Pro-Canselor dan Konvokesyen Ke-22 di Dewan Sultanah Ibrahim UTHM, hari ini. FOTO ihsan UTHM
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) pada Istiadat Pemasyhuran Canselor, Pro-Canselor dan Konvokesyen Ke-22 di Dewan Sultanah Ibrahim, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, adinda baginda, Tunku Temenggung Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim pula dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor UTHM.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Datuk Azmi Rohani pula dilantik sebagai Pro-Canselor UTHM yang baharu.

Sebelum ini, jawatan Canselor UTHM disandang oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sejak 2002 hingga awal 2022.

Naib Canselor UTHM, Prof Dr Ruzairi Abdul Rahim berkata, seramai 4,484 graduan layak menerima sijil masing-masing merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu ijazah doktor falsafah (128), sarjana (255), sarjana muda (3443) dan diploma (658) bermula 3 hingga 8 Disember ini.

"Istiadat turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kejuruteraan Mekanikal kepada mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM (2018-2021), Datuk Dr Mohd Sofi Osman.

"Penganugerahan berkenaan adalah bagi menghargai sumbangan beliau dalam bidang akademik, pembangunan universiti dan penyelidikan serta modal insan.

"Manakala mantan Naib Canselor UTHM (2017-2022), Prof Datuk Dr Wahid Razzaly pula menerima Anugerah Profesor Emeritus.

"Ianya bagi menghargai sumbangan beliau kepada universiti dan negara terutama dalam bidang teknologi, kejuruteraan dan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya.

Beliau berkata, turut menerima anugerah dalam istiadat berkenaan, penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang), graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Muhammad Faris Abdul Hadi.

"Graduan Sarjana Muda Sains (Matematik Teknologi) dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Khoo Chun An turut menerima anugerah berkenaan.

"Manakala graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Hajar Shahirah Che Ariffin pula menerima Anugerah Sultan Ibrahim," katanya.

Katanya, dengan berlangsungnya istiadat konvokesyen ini maka jumlah graduan UTHM sehingga 2022 telah mencecah seramai 53,760 orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 12:27 PM