Wan Amirul Aizzat menunjukkan Anugerah Naib Canselor, kelas pertama kepada ibunya, Khairizan Sabtu. FOTO Ihsan UiTM Shah Alam
Wan Amirul Aizzat menunjukkan Anugerah Naib Canselor, kelas pertama kepada ibunya, Khairizan Sabtu. FOTO Ihsan UiTM Shah Alam
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Minat mendalam terhadap kerjaya bapa dan abang dalam bidang kewartawanan mendorong Wan Amirul Aizzat Wan Ahmad Jailani, 25, untuk mengikuti jurusan sama.

Lebih bermakna, bekas penuntut Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media itu turut menerima Anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-96, hari ini selepas memperoleh lima kali anugerah dekan sepanjang empat tahun pengajian.

Wan Amirul Aizzat berkata, bapanya, Wan Jailani Razak, 57, kini bertugas sebagai Pengarang Berita di Berita Harian, manakala abangnya, Wan Amirul Amsyar, 30, adalah Timbalan Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Selepas tamat pengajian pada 2021, saya menyertai portal Satuberita.my sebelum beralih ke UtusanTV untuk menimba pengalaman sebagai wartawan dan juruvideo.

"Dalam keluarga saya sekarang ada lima produk UiTM iaitu empat bergelar 'Budak Masscomm', termasuk kakak ipar, Mimi Rosli, 30, manakala ibu saya, Khairizan Sabtu, 57 adalah pemegang Ijazah Pendidikan," katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, Wan Amirul Aizzat menerima Anugerah Naib Canselor yang disampaikan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin selaku Pro-Canselor UiTM.

Sementara itu, Tengku Permaisuri Norashikin berkata, program Komunikasi dan Pengajian Media serta Akademi Pengajian Bahasa adalah antara cabang ilmu utama sebagai penyumbang, pembina dan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial selari dengan aspirasi UiTM untuk menjadi universiti dikenali dunia.

Baginda bertitah, seiring dengan perubahan industri global, universiti amat proaktif untuk bergerak selari dengan kehendak dan kemahuan industri.

"Inisiatif sudah diambil melalui beberapa memorandum persefahaman bersama rakan strategik universiti dan industri dari dalam dan luar negara.

"Sebanyak 31 perjanjian persefahaman yang aktif bersama universiti dan industri di peringkat antarabangsa, antaranya dengan Universitas Ahmad Dahlan; Universitas Muhammadiyah Yogyakarta; Universitas Islam Jakarta di Indonesia; Universiti Walailak di Thailand serta Bunkyo Gakuin University dan Gakushuin University di Jepun.

"Kerjasama turut diperluas ke Korea, Amerika Latin, Afrika Selatan, Pakistan, Maghribi dan Mesir yang mana penuntut dibabitkan dengan pelbagai program," titah baginda.

Tengku Permaisuri Selangor bertitah, matlamat utama UiTM adalah memastikan graduan mendapatkan pekerjaan seawal enam bulan pertama selepas bergraduasi.

Titah baginda, peratusan kebolehpasaran graduan terkini bagi program Komunikasi dan Pengajian Media ialah 89.4 peratus, manakala bagi program Pengajian Bahasa mencatatkan 85.6 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 3:41 PM