Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkenan menyampaikan skrol kepada penerima Anugerah Sarjana Cemerlang kepada graduan pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-98 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam hari ini.
Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkenan menyampaikan skrol kepada penerima Anugerah Sarjana Cemerlang kepada graduan pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-98 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam hari ini.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sembilan graduan terawal Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dahulunya dikenali sebagai Dewan Latehan RIDA dari 1959 hingga 1967 hadir pada Istiadat Konvokesyen universiti itu, hari ini.

Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata, alumni berusia antara 77 hingga 84 tahun itu adalah graduan yang lahir dari Dewan Latehan RIDA, Kampus Jalan Othman.

"Kehadiran alumni terulung ini menjadikan istiadat konvokesyen pada kali ini, amatlah istimewa dan bermakna.

"Ini menandakan bukti sokongan mereka kepada UiTM dalam mengukuhkan semangat dan jati diri warga universiti terhadap misinya menjuarai pembangunan Bumiputera profesional.

"Semoga kehadiran mereka memberi inspirasi kepada graduan kita menjadi sehebat graduan Dewan Latehan RIDA dan sehebat graduan ITM," katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-98 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di sini, hari ini.

Pada istiadat konvokesyen yang berlangsung sehingga 14 Disember ini, seramai 24,714 graduan akan menerima ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing.

Di UiTM Shah Alam sebanyak 23 sidang akan berlangsung dengan penganugerahan kepada seramai 22,907 graduan.

Istiadat akan melabuhkan tirai di UiTM Cawangan Sarawak yang akan berlangsung pada 13 hingga 14 Disember dengan jumlah graduan seramai 1,260 orang.

Pada sidang pertama, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin selaku Pro-Canselor UiTM menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang dan Sarjana Kepakaran Perubatan kepada 125 graduan.

Konvokesyen UiTM ke-98 juga menyaksikan penganugerahan Profesor Emeritus kepada Profesor Datuk Dr Ahmad@Abdul Rahim Zainuddin iaitu seorang yang tidak asing lagi dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 1:52 PM