MENARA sistem EWS  yang dipasang di Gunung Jerai pada Februari lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MENARA sistem EWS yang dipasang di Gunung Jerai pada Februari lalu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Yan: Sistem amaran awal mengesan bencana geologi khususnya aliran puing atau dikenali sebagai EWS sudah dipasang di Gunung Jerai pada Februari lalu hasil kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ketua Pengarah JMG Malaysia, Hisamuddin Termidi berkata, sistem amaran awal aliran puing itu disesuaikan mengikut kedudukan lokaliti setempat untuk beroperasi bagi mengelak risiko berlakunya kemalangan jiwa dan kerosakan harta berulang.

"Teknologi yang dibawa dari Jepun ini adalah yang pertama dalam negara dan akan diperluaskan ke lokasi berisiko lain sekiranya projek rintis ini didapati berkesan.

"Saya percaya ia memang diharapkan oleh penduduk setempat kerana sejak kebelakangan ini berlaku beberapa kejadian tanah runtuh yang kemungkinan besar turut membawa aliran puing," katanya selepas merasmikan program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) Jerai Geopark di Titi Hayun di sini, hari ini.

Hisamuddin berkata, teknologi EWS banyak diguna di Jepun yang menggabungkan pengesan deria getaran dan wayar bagi membolehkan amaran bencana aliran puing dikesan lebih awal.

"EWS mempunyai beberapa komponen antaranya penggunaan deria wayar yang akan mengesan aliran puing pada tahap-tahap tertentu, apabila mengenai wayar itu sistem amaran awal diaktifkan dan mengeluarkan bunyi siren yang boleh didengari penduduk sekitar.

"Jadi mereka boleh persiapkan diri untuk mengosongkan kediaman masing-masing dan pergi ke tempat lebih selamat," katanya.

Beliau berkata, pengendalian sistem EWS sudah dimaklumkan kepada Majlis Daerah Yan kerana ia akan diserahkan kepada komuniti untuk menguruskannya selepas diberikan taklimat kaedah penggunaannya.

Katanya, JMG juga akan bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam menyelaras sistem amaran awam untuk kepentingan masyarakat setempat.

"Antara perkara yang sedang diperhalusi ialah koordinasi sekiranya berlaku amaran awal, contohnya macam mana kita mahu satukan kepada amaran awam.

"Bermakna bukan saja penduduk sekitar tahu berlakunya bencana tetapi merangkumi penduduk yang tinggal agak jauh. Sebab kita tak pasti kesan aliran puing sangat pantas, tak semestinya penduduk yang jauh tidak terkesan," katanya.

Mengulas sama ada Gunung Jerai selamat dikunjungi orang ramai susulan aliran puing di Yan dan Kuala Muda pada 18 Ogos tahun lalu, Hisamuddin berkata, berdasarkan hasil kajian pihaknya kawasan rekreasi itu sudah boleh dibuka semula.

"Kawasan ini diselia di bawah Majlis Daerah Yan, terpulang kepada mereka menentukan bila tarikh sesuai untuk dibuka kepada orang ramai untuk merancakkan semula aktiviti pelancongan.

"Kita sekadar beri nasihat dan hasil kajian sebagai panduan. Saya percaya dengan adanya sistem amaran EWS dan program CBDRM, keyakinan penduduk setempat dan pelancong akan lebih baik untuk datang menghidupkan semula industri pelancongan di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 4:14 PM