Azhari Mohamed (tengah) menunjukkan data geospatial yang digunakan bagi pemetaan baharu kawasan Gunung Jerai susulan bencana geologi dan aliran puing yang berlaku bulan lalu. FOTO Hifzuddin Ikhsan
Azhari Mohamed (tengah) menunjukkan data geospatial yang digunakan bagi pemetaan baharu kawasan Gunung Jerai susulan bencana geologi dan aliran puing yang berlaku bulan lalu. FOTO Hifzuddin Ikhsan
Oleh M Hifzuddin Ikhsan


Yan: Bentuk muka bumi kawasan sekitar Gunung Jerai yang berubah akibat kejadian bencana geologi dan aliran puing bulan lalu, akan dipetakan sepenuhnya sebagai rujukan kepada agensi teknikal berkaitan.

Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Datuk Sr Dr Azhari Mohamed berkata, berdasarkan tinjauan udara dilakukan pihaknya, terdapat beberapa perubahan dikesan pada bentuk muka bumi, terutamanya bahagian lereng gunung.

Jelasnya, peta baharu dan data geospatial berkenaan diperlukan terutamanya kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang akan membuat penilaian semula kawasan bencana berkenaan.

"Data ini penting kerana ia menunjukkan perubahan yang berlaku secara fizikal kepada cerun gunung, jadi ini membantu agensi teknikal membuat analisa yang mungkin dapat membantu mengelak tragedi ini berulang.

"Bencana ini bukan disebabkan buatan manusia, tetapi lebih kepada faktor semula jadi kerana hujan lebat luar biasa menyebabkan air bertakung dalam tanah sehingga menyebabkan kegagalan cerun," katanya pada sidang media di Titi Hayun di sini, hari ini.

Azhari berkata, bencana seperti ini tidak boleh dijangka, namun ia boleh dikawal antaranya melalui langkah mitigasi agar penduduk menyedari amaran yang ditunjukkan pada kawasan gunung.

Pada kejadian 18 Ogos lalu, berlaku fenomena kepala air dan banjir lumpur di Gunung Jerai menyebabkan lebih 1,000 rumah penduduk sekitar mengalami kerosakan selain turut mengorbankan enam mangsa.

Sementara itu, Pengarah JMG Kedah/Perlis/Pulau Pinang Abdullah Sulaiman berkata, analisa pihaknya menggunakan peta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) mendapati, berlaku perubahan pada alur sungai yang berbengkang-bengkok di Gunung Jerai yang kini menjadi lurus.

"Pada peta asal, kita tidak nampak alur sungai, tetapi pada peta baharu, kita nampak alur sungai dengan jelas malah ada yang seluas sehingga 50 meter akibat kesan aliran puing.

"Begitu juga pada puncak gunung, sebelum ini tiada kesan parut atau tanah runtuh. Jadi semua data ini akan dianalisis bagi menentukan perubahan yang berlaku dan dijadikan rujukan di masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 7:12 PM