MOHD Radzi dan Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Sahabat 4, mencuba kereta kawalan jauh sempena Pelancaran Felda Digital Hub, Coding and Robotic. FOTO Abdul Rahemang Taiming
MOHD Radzi dan Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Sahabat 4, mencuba kereta kawalan jauh sempena Pelancaran Felda Digital Hub, Coding and Robotic. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Lahad Datu : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempunyai garis panduan melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) susulan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bermula tahun ini.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, pelaksanaan itu bukanlah perkara baru malah sudah bermula sejak dulu lagi namun kurang diberi perhatian.

Katanya, di peringkat sekolah rendah, PBD sudah dilaksanakan pada 2011 manakala di peringkat sekolah menengah bermula pada 2012.

Beliau berkata, dalam konteks pelaksanaan PBD itu, KPM sendiri mempunyai garis panduan terkini iaitu versi 2019.

"Namun begitu, apabila kita lihat tumpuan diberikan kepada peperiksaan khusus, maka PBD ini tidak diberi perhatian yang mendalam.

"Walau bagaimanapun, dalam konteks pelaksanaan PBD ini, kita sedar ada yang mengatakan jumlah kelas atau murid yang terlalu ramai namun dalam konteks pendidikan, kita ada kaedah-kaedah atau inovasi berkaitan yang boleh diguna pakai termasuk dalam jumlah pelajar yang ramai," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Pelancaran Felda Digital Hub, Coding and Robotic, di Sekolah Kebangsaan Sahabat 4, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, antara komponen pentaksiran berterusan yang akan dilaksanakan KPM ialah latihan guru selain mengenalpasti pendekatan yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi kekangan yang ada.

KPM juga katanya sedia menambah baik pelaksanaan PBD dengan mengambil kira maklum balas semua pihak termasuk penyediaan soalan peperiksaan standard seperti yang pernah diumumkan sebelum ini.

"Ia bagi mengetahui apakah pencapaian anak-anak berdasarkan satu standard soalan yang diguna pakai di sekolah yang diperakui kualitinya oleh pihak kementerian," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai rungutan ibu bapa yang terkesan dengan kenaikan kadar tambang bas sekolah beliau berkata perkara itu dalam bidang kuasa pihak Kementerian Pengangkutan namun bersedia mengadakan pertemuan dan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 3:59 PM