GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Luqman Arif Abdul Karim


PENTAKSIRAN lebih menyeluruh termasuk amalan nilai murni berbentuk rutin harian akan diguna susulan pemansuhan ujian pertengahan dan akhir tahun yang bakal berkuat kuasa pada 2019.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Shaari Osman, berkata pendekatan baharu itu akan dilaksanakan menerusi pembelajaran menyeronokkan ke arah pembangunan dan pembentukan peribadi murid.

“Kemahiran 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul ialah kemahiran asas murid tahap satu yang perlu dibina serta diperkukuh sebelum mereka melalui proses pembelajaran di peringkat lebih tinggi.

“Model baharu ini akan mencakupi pentaksiran bilik darjah (PBD) dengan menjalankan aktiviti bercerita, permainan, projek mudah, main peranan dan kuiz.

“Selain itu, guru boleh menjalankan PBD dalam bentuk aktiviti lain yang bersesuaian,” katanya dalam pekeliling untuk tindakan semua pengurusan Jabatan Pendidikan Negeri, hari ini.

Shaari berkata, proses pembelajaran, hasil kerja dan amalan nilai murni akan digunakan untuk menilai perkembangan murid di sekolah.

Katanya, pelaporan pembelajaran murid oleh guru dan ibu bapa pula dipertimbang untuk menambah baik proses pembelajaran serta menentukan bentuk sokongan yang boleh diberikan.

“Ini bagi memastikan perkembangan potensi, bakat, minat, kemahiran dan sahsiah murid dioptimumkan.

“Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan PBD, pihak sekolah hendaklah merancang jadual waktu bersesuaian, selain guru melaksanakan pengajaran secara kolaboratif bagi menjamin pembelajaran dan pengajaran lebih menyeronokkan serta bermakna.

“Kementerian memutuskan supaya program saringan literasi dan numerasi (LINUS 2.0) akan dihentikan mulai 2019,” katanya.

Sehubungan itu, Shaari berkata, pengurusan sekolah perlu mengenal pasti murid tahap satu, iaitu tahun satu hingga tiga yang mengalami kesukaran menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.

Katanya, usaha itu perlu disokong menerusi penyediaan intervensi di peringkat sekolah.

“Surat ini hendaklah dibaca bersama garis panduan pelaksanaan pentaksiran bilik darjah tahap satu.

“Susulan berkuat kuasanya pekeliling ini, surat siaran Kementerian Pendidikan bilangan 4 tahun 2016, perubahan pelaksanaan saringan LINUS 2.0 mulai tahun 2016 bagi sekolah rendah bertarikh 31 Mac 2016 adalah dibatalkan.

“Pemansuhan amalan peperiksaan pertengahan dan akhir tahun bagi murid tahap satu ini selaras konsep pembelajaran berteraskan perkembangan murid selain membolehkan guru memberi lebih fokus kepada tugas mendidik serta menyemai nilai murid,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 11:13 PM