PEMANSUHAN UPSR bukti komitmen KPM melestarikan sistem pendidikan negara. FOTO Arkib NSTP
PEMANSUHAN UPSR bukti komitmen KPM melestarikan sistem pendidikan negara. FOTO Arkib NSTP
Suliati Asri

Kuala Lumpur: Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan baru-baru ini disifatkan sebagai langkah berani dan tepat pada masanya.

Pengarah Akademi Pendidikan/ Sekolah Makmal Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Mohd Hafiz Md Hanif berkata, pemansuhan UPSR menandakan satu era baharu kepada keseluruhan sistem pendidikan di Malaysia kerana ia menjadi bukti kepada komitmen kementerian melestarikan sistem pendidikan negara ini.

"Mengubah sebuah sistem mempunyai lebih 10,000 sekolah, 4.9 juta murid dan lebih 400,000 guru bukan satu perkara yang mudah.

"Perubahan ini memerlukan komitmen dan kesungguhan semua komponen dalam sistem ini untuk menjalankan peranan masing-masing pada kadar paling optimum.

"Sistem ini juga terletak di dalam satu ekosistem yang saling bersangkut paut antara satu sama lain. Masyarakat, ibu bapa dan pihak swasta perlu memainkan peranan aktif menyokong dan memperbetul proses pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) menggantikan UPSR ini supaya ia menjadi sebuah praktis telus.

"Hanya dengan cara inilah, sistem pendidikan di Malaysia mampu pergi lebih jauh," katanya.

Mohd Hafiz berkata, jika diteliti trend pendidikan global dan pendekatan proses pendidikan yang diambil negara maju, kebanyakannya memberi penekanan kepada kemenjadian murid yang lebih holistik.

Menurutnya, langkah itu diambil supaya dapat menghasilkan tenaga kerja lebih kreatif, inovatif, tangkas dan mampu mendepani cabaran landskap pekerjaan masa depan yang tidak menentu.

"Sejajar aspirasi proses pendidikan lebih holistik ini, bentuk pengajaran dan pembelajaran perlu diubah supaya aktiviti pembelajaran tidak tertakluk kepada kebolehan memuntahkan semula apa yang guru ajar sebelum ini.

"Bentuk pengajaran dan pembelajaran perlu berubah kepada kebolehan memahami dan mengaplikasi pengetahuan, kemahiran dan nilai menerusi pengalaman sedia ada murid, komunikasi antara guru dan rakan lain dan didorong bantuan dari guru ke arah mencapai pelbagai standard pembelajaran digariskan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang disediakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Perubahan corak pembelajaran mengutamakan murid seperti ini dikenali sebagai Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) juga memerlukan perubahan dari segi sistem penilaian pembelajaran," katanya.

Oleh yang demikian katanya, wujudlah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan PBD diperkenalkan KPM.

Beliau berkata, pentaksiran jenis ini memberi autonomi kepada guru kelas dan guru mata pelajaran untuk mentaksir murid berasaskan kepada kemampuan mereka yang diselaraskan melalui rubrik Standard Prestasi yang mengandungi Tahap Penguasaan 1 hingga 6 (TP).

Mohd Hafiz berkata, apabila proses PBD dijalankan dengan telus, ia mampu memberi gambaran jelas akan kemampuan dan perkembangan prestasi holistik murid kerana ia bersifat pentaksiran formatif berkala.

"Proses penilaian murid dijalankan secara berterusan melalui pelbagai cara termasuk ujian dan pemerhatian bagi mendapatkan data kemampuan murid sepanjang tahun.

"Jika dibandingkan proses disebutkan ini dengan peperiksaan seperti UPSR, peperiksaan hanya memberi gambaran prestasi murid pada ketika menjawab soalan peperiksaan sahaja.

"Jika murid terlupa bagaimana menentukan pembolehubah dimalarkan, dimanipulasi dan yang bergerak balas bagi eksperimen sains semasa peperiksaan tersebut, maka impak kepada kesilapan kecil ini akan memberi impak kepada keputusan peperiksaan tersebut.

"Walhal ia mungkin kesan psikologi murid yang gugup ketika menjawab soalan peperiksaan," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Mohd Alif Anas Md Noor berkata, GPMS menyambut baik keputusan pemansuhan UPSR.

Keputusan itu satu perkara yang akan menjadikan sistem Penilaian Bilik Darjah (PBD) lebih terbuka dan relevan kepada semua tahap kemampuan murid.

Menurutnya, murid akan dinilai dengan lebih konklusif tanpa minda berasaskan peperiksaan yang dilihat terlalu memberi tekanan kepada murid.

"GPMS melihat kejayaan seseorang murid tidak boleh dinilai hanya menerusi akademik sahaja.

"Kita semua mesti adil dan saksama dalam penerimaan bahawa kemenjadian seseorang murid itu mesti dinilai secara holistik sama ada daripada akademik, kokurikulum, ko-akademik, kepimpinan, sahsiah dan kesihatan fizikal.

"Oleh itu menerusi PBD yang diperkasakan penilaian lebih terbuka dapat dilaksanakan," katanya.

Dengan pengumuman Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin itu, GPMS berharap tiada polemik dan pertikaian keputusan dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia.

"GPMS menyeru semua pihak terutama guru dan ibu bapa berganding bahu merencana laluan terbaik buat murid," katanya.

Murid bebas tekanan peperiksaan besar

Tidak dinafikan pandemik Covid-19 menyebabkan sesi pembelajaran dan pengajaran murid terjejas kerana sekolah hampir ditutup sepanjang tahun lalu.

Ia nyata memberi kesan kepada murid tahun enam ketika ini kerana ketika berada di tahun lima banyak pembelajaran tergendala.

Malah, tahun ini sekolah pula hanya dibuka bermula Mac dan sesetengah sekolah ditutup kerana ada kes positif.

Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) beri kelegaan kepada ibu bapa dan murid.

Namun pada masa sama murid perlu terus belajar bersungguh-sungguh dan ibu bapa perlu memastikan anak tidak leka dengan mengambil pelbagai inisiatif sendiri.

Pekerja swasta dan juga ibu, Norhidayah Abu Zarim berkata, pemansuhan UPSR memberi kelegaan, tetapi ibu bapa perlu memastikan penguasaan anak dalam setiap subjek dipelajari.

Menurutnya yang mempunyai anak di tahun enam, dia sedar sepanjang tahun lalu anaknya tidak banyak belajar disebabkan penutupan sekolah di seluruh negara bagi memutuskan rangkaian Covid-19.

"Apabila anak belajar di darjah enam tahun ini, risau memikirkan dia akan menghadapi UPSR. Jadi dengan keputusan memansuhkan UPSR ini ia memberi kelegaan.

"Selain itu, murid tidak tertekan menghadapi peperiksaan besar kerana dengan penilaian atau ujian dilaksana setiap bulan di sekolah, ia mampu memperlihatkan penguasaan anak dalam subjek dipelajari," katanya.

Ibu kepada tiga anak, Irene Halimi, 34, berkata, dia lega dengan pemansuhan UPSR kerana menyedari proses pembelajaran di sekolah bermula tahun lalu hingga ke sekarang tidak berlangsung dengan baik.

Menurutnya, dengan pemansuhan UPSR, murid tidak diklasifikikasi di peringkat sekolah rendah.

"Kini, semua murid sekata dan mampu bersaing sama rata. Tak perlu tertekan untuk peperiksaan.

"Ibu bapa juga tak perlu risau mengenai anak akan menghadapi peperiksaan selain tidak perlu lagi menghantar anak ke kem menjawab soalan UPSR, membeli buku untuk persediaan peperiksaan," katanya.

Irene berkata, keputusan UPSR adalah penilaian yang diambil kira untuk kemasukan anak ke sekolah berasrama dan sebagainya.

"Saya berharap agak pihak kementerian dan pihak sekolah ada mekanisma terbaik memberi murid lebih pendedahan akademik dan persediaan untuk masuk ke sekolah terbaik di peringkat menengah," katanya

Sementara itu, murid tahun enam, Irfan Haziq Haslan berkata, keputusan pemansuhan UPSR mengejutkan buatnya yang sudah mula membuat persiapan menghadapi peperiksaan itu sejak tahun lalu.

Namun, keputusan itu tidak mematahkan semangatnya terus belajar seterusnya mencapai matlamat memasuki sekolah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

"Walaupun, UPSR dimansuhkan, tetapi masih ada dua lagi peperiksaan lain iaitu Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA). Saya perlu terus belajar dengan bersungguh-sungguh.

"Saya perlu mempertingkatkan nilai diambil kira dalam penilaian di sekolah. Jadi, saya kena banyak membantu kawan, memberi respon kepada guru dan banyak lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 6:45 AM