Natrah Laili Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Promosi jualan buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di sini mengundang segelintir pengunjung membawa bagasi untuk 'memborong' buku pilihan mereka.

Tinjauan Harian Metro di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur mendapati pengunjung membawa bagasi sendiri bagi memudahkan mereka membawa buku yang dibeli.

Pengunjung, Muhammad Fadhli Omar, 46, berkata, membawa bagasi membantunya untuk bergerak lebih pantas kerana buku yang dibeli dikumpul dalam satu bagasi.

Muhammad Fadhli yang juga seorang guru berkata, setiap tahun dia akan datang ke pesta ini untuk membeli novel, buku keagamaan serta buku rujukan untuk pusat sumber sekolahnya.

"Setiap kali ke PBAKL, memang saya akan peruntukkan RM4,000 untuk membeli buku yang berkualiti daripada pelbagai terbitan pempamer di sini.

"Harga promosi serta kombinasi juga amat berbaloi untuk memborong buku kerana itu adalah tujuan utama saya datang ke sini.

"Saya tiba seawal 9 pagi tadi. Jadi dalam masa tiga jam saya sudah habis berbelanja lebih RM1,000 untuk 30 hingga 40 buah buku," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

MUHAMMAD Fadhli membawa beg dan troli bagi mengisi buku yang dibelinya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022. FOTO Aziah Azmee
MUHAMMAD Fadhli membawa beg dan troli bagi mengisi buku yang dibelinya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022. FOTO Aziah Azmee

Begitu juga Nur Aimaisarah Muhammad Fariz, 21, yang datang dari Pulau Pinang bersama ibunya, Sahidah Abdul Wahid, 46, untuk membeli buku yang dikirim rakan dan dirinya.

Katanya, dia tidak merancang untuk membawa bagasi namun dia melihat video tular di media sosial yang menggalakkan pengunjung membawa beg tambahan supaya memudahkan pembelian mereka.

"Saya datang bersama ibu, jadi bila ada bagasi senang untuk ditolak berbanding memegang buku yang kebanyakannya berat untuk dipegang.

"Sebaik tiba di sini, saya bersyukur kerana mendengar saranan orang ramai kerana pesta kali ini terdapat penerbitan baru yang membuatkan saya 'rambang mata' untuk membeli buku keagamaan," katanya yang juga pelajar tahun satu kursus syariah.

Sementara itu, seorang remaja kurang upaya cacat penglihatan, Danish Irsyaduddin Muhammad Nazri, 18, hadir dipimpin adiknya Dalilah Amalina, 16, untuk merasai pengalaman pesta buku ini.

Danish Irsyaduddin berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya menjejakkan kaki ke pesta buku ini sekali gus dapat bersiar-siar.

"Adik saya (Dalilah) juga teruja kerana dapat membeli buku sekolah dan novel kegemarannya selain terdapat diskaun buku yang boleh diperoleh sehingga 20 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 3:40 PM