PENGUNJUNG membanjiri setiap reruai yang menjual pelbagai jenis buku dan novel pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
PENGUNJUNG membanjiri setiap reruai yang menjual pelbagai jenis buku dan novel pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Lebih 70 peratus pengunjung yang mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 bermula semalam adalah terdiri daripada golongan muda.

Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron berkata, berdasarkan kepada perkara itu, pihaknya yakin masa depan industri buku di negara ini berkembang ke arah yang positif.

"Kalau kita melihat pengunjung, rata-rata lebih 70 peratus yang datang adalah generasi muda. Dalam masa sama, lebih 60 peratus pempamer juga membabitkan generasi muda.

"Maknanya, kalau ditanya masa depan tentang industri buku, saya melihat ia berkembang ke arah yang positif," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

PBAKL 2024 yang diadakan bermula semalam sehingga 2 Jun kali ini membabitkan sebanyak 972 reruai.

Mengulas lanjut, Mohd Khair turut berpandangan, penerimaan buku akademik dalam kalangan golongan muda mendapat sambutan menggalakkan dan mempunyai pengikutnya.

"Ramai orang kata buku akademik tak ada pengikut. Tapi kalau kita tengok contoh buku (tokoh pemikir negara dan umat Islam) Prof Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, jualannya sangat hebat," katanya.

Beliau turut memberikan contoh sebuah penerbit yang menerbitkan terjemahan buku Muhammad yang telah tercetak lebih 8,000 naskhah.

"Contohnya buku Muhammad. Buku Muhammad ini dicetak lebih 8,000 naskhah. Itu buku akademik terjemahan sejarah awal Nabi Muhammad. Buku terjemahan sebelum ini tidak popular.

"Kebanyakan pembeli juga adalah generasi muda. Jadi, saya melihat trend generasi muda terhadap buku akademik sangat menarik," katanya.

Selain itu katanya, kreativiti ditunjukkan penerbit PBAKL juga amat kreatif yang menyebabkan ia mendapat sambutan daripada golongan muda.

Beliau turut memberikan contoh sebuah penerbit buku yang mengubah kisah di dalam 'wordpad' ke bentuk fizikal.

Sementara itu, pihaknya menyasarkan seramai 1.5 juta orang pengunjung akan mengunjungi PBAKL 2024 yang berlangsung selama 10 hari ini.

"Tahun lepas sasaran kita 1.3 orang pengunjung tetapi jumlah yang hadir adalah 1.6 juta," katanya.

Menurutnya, kehadiran pengunjung di PBAKL 2024 semalam juga mencatatkan jumlah luar biasa apabila ia dihadiri lebih 145,000 orang.

"Ia dua kali ganda dari hari pertama tahun lepas. Rata-rata penerbit yang kita temui mengatakan jualan mereka juga meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 4:38 PM