NAWAL Sufiah (kanan) lebih meminati membaca buku bercetak. FOTO Nurul Najwa Mohd Noordin
NAWAL Sufiah (kanan) lebih meminati membaca buku bercetak. FOTO Nurul Najwa Mohd Noordin
Nurul Najwa Mohd Noordin


Kuala Lumpur: Ramai yang masih gemar membaca buku cetakan berbanding versi digital kerana menganggap ia memberikan pengalaman bacaan lebih menarik.

Pelajar universiti separuh masa, Adriana Adam, 27, berkata, dia sanggup membelanjakan wang sehingga mencecah lebih RM250 untuk membeli buku fizikal kesukaannya.

"Tidak dinafikan buku digital ada kebaikannya yang tersendiri, tetapi saya lebih sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan buku fizikal kerana ia lebih berbaloi.

"Saya dapat mendalami penceritaan buku dengan lebih baik melalui sentuhan fizikal. Saya tidak gemar membaca buku digital kerana ia seakan-akan hanya memegang sebuah gajet saja," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Katanya, dia sekeluarga sudah membuat persediaan awal sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 kali ini dengan membawa beg bagasi bagi mengisi buku-buku yang bakal dibeli.

"Setakat ini terdapat 16 buku yang ingin saya beli, termasuk dengan bahan bacaan yang ingin dibeli keluarga.

"Jadi, kami pun membawa beg bagasi ini untuk memudahkan perjalanan membawa kuantiti buku yang banyak dan berat ini," katanya.

Kakitangan kerajaan, Nuureiman Mohamad Yusof, 37, berkata, dia tidak mahu meninggalkan sentimen pembacaan buku cetak yang diamalkan sejak dulu lagi.

"Pembacaan buku cetak ini lebih klasik dan rapat dengan jiwa saya.

"Saya juga seorang pengumpul buku. Jadi perasaan apabila menyusun buku-buku cetak yang dibaca itu memberi satu kepuasan kepada diri saya.

"Semakin lusuh keadaan buku itu menunjukkan semakin kerap pembacaan yang saya lakukan," katanya.

Katanya, dia menggalakkan pembacaan buku cetak kepada kedua anak kecilnya itu bagi menambah minat amalan membaca.

"Membaca buku secara digital ini ada kesan buruknya. Mungkin mereka akan terganggu untuk membuka laman web tidak berfaedah ketika membaca," katanya.

Bagi pelajar sekolah menengah, Nawal Sufiah Ezani, 16, pembacaan buku cetak dapat menambah baik proses perkembangan otak seseorang individu.

"Seseorang pembaca itu dapat membuat catatan di atas buku cetaknya seperti membuat nota jika ada perkataan yang tidak difahami. Ia akan melatih mereka untuk berusaha memahami pembacaan yang dilakukan.

"Manakala untuk buku digital, bukan saja tidak dapat membuat catatan, malahan ia juga turut merosotkan kesihatan mata pembaca," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 2:16 PM