WAN Saiful (tengah) dan Mohd Razman (dua dari kanan) bersama penerima bantuan.
WAN Saiful (tengah) dan Mohd Razman (dua dari kanan) bersama penerima bantuan.
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) mengadakan pelbagai kerjasama dalam usaha membantu pelajar asnaf yang memerlukan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, program yang diadakan termasuk Program Pintar@KPLB-PTPTN yang akan dilaksanakan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Langkawi dan MRSM Kuala Krai dengan menyediakan kelas bimbingan kepada 200 pelajar sepanjang tahun ini.

Katanya, program itu memberi ruang dan peluang kepada pelajar dari keluarga golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) untuk mendapatkan akses bimbingan secara percuma serta pendedahan akademik.

"Bagi Program Skim Anak Angkat, PTPTN memberi sumbangan elaun persekolahan sebanyak RM1,200 setahun kepada 20 anak angkat terpilih berusia 13 tahun selama tiga tahun.

"Selain itu, setiap anak angkat berkenaan juga akan diberikan sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime secara 'one-off' sebanyak RM200," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Program Kerjasama PTPTN dan YPM di Menara PTPTN, di sini, hari ini.

Majlis yang diadakan itu adalah sebagai simbolik kerjasama PTPTN sebagai Rakan Penyumbang Pendidikan YPM 2021-2026.

Dalam majlis sama, Wan Saiful turut menyerahkan sumbangan zakat PTPTN berjumlah RM150,000 kepada Pengerusi YPM, Datuk Mohd Razman Yaacob.

PTPTN menerusi Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid turut menyerahkan sumbangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Mohd Amran Mohd Ariffin membabitkan sumbangan bagi Program Pintar@KPLB-PTPTN berjumlah RM74,000, Skim Anak Angkat PTPTN (RM72,000) dan sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime (RM4,000).

Turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Pelaburan dan Pembangunan Subsidari, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Hady Suhairy Baseri dan Ketua Bahagian Pembangunan Dana YPM, Zainal Rashid Zakaria.

Wan Saiful berkata, PTPTN sentiasa proaktif dan mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak, sama ada agensi kerajaan mahu pun swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengadakan program kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Katanya, program sedemikian bertujuan untuk memastikan sumbangan yang diberikan adalah merangkumi pelbagai golongan sasar.

"Dengan sumbangan ini saya optimis pelbagai program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai matlamat yang dihasratkan iaitu mengurangkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.

"Ia sekali gus memastikan akses pendidikan yang sama rata untuk meningkatkan taraf hidup dan menjana kecemerlangan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 5:28 PM