Mohd Khidir Zakaria


Seremban: Seramai 410 pelajar dari keluarga B40 di negeri ini menerima bantuan persekolahan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM41,000.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, setiap pelajar akan menerima bantuan RM100 berupa baucer kelengkapan persekolahan dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Katanya, program itu diharap dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menguruskan persediaan untuk anak-anak melangkah ke sesi persekolahan pada tahun depan.

"Program bantuan persekolahan antara program sering dilaksanakan PTPTN setiap tahun bagi membantu pelajar dari golongan memerlukan," katanya pada program bantuan persekolahan, di sini, hari ini.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan (lima dari kiri) bergambar bersama para penerima dana bantuan persekolahan. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan (lima dari kiri) bergambar bersama para penerima dana bantuan persekolahan. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Menurutnya, PTPTN sentiasa menggalakkan ibu bapa membuat perancangan kewangan untuk pendidikan anak masing-masing dengan memperkenalkan SSPN sejak 2004.

Katanya, tanpa perancangan kewangan yang baik menyebabkan sukar buat pelajar untuk meneruskan pengajian dan mencapai cita-cita mereka.

"PTPTN amat menggalakkan ibu bapa menyimpan untuk pendidikan anak-anak seawal usia sehari, yang mana kos pendidikan dijangka akan terus meningkat pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 4:13 PM