GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Setiap bayi yang lahir di negeri Kedah bermula 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini akan menerima tabungan Simpan SSPN Prime (yang dahulunya dikenali sebagai SSPN-i) berjumlah RM100 setiap seorang.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tabungan itu adalah inisiatif kerajaan negeri yang memperuntukkan sebanyak RM1 juta menerusi Program Anakku Sejahtera.

"Bagi memastikan sumbangan ini sampai kepada golongan sasaran, kerajaan negeri Kedah menetapkan beberapa syarat untuk permohonan sumbangan ini antaranya bayi mestilah warganegara dan dilahirkan di Kedah, ibu atau bapa lahir atau bermastautin di Kedah melebihi 10 tahun.

"Syarat lain ialah pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Majlis pelancaran Program Anakku Sejahtera disempurnakan oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di Pulau Langkawi, hari ini.

Wan Saiful berkata, borang permohonan dan maklumat lanjut berkaitan program ini boleh didapati di Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah yang berhampiran.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, PTPTN akan terus menyokong usaha Kedah yang menggalakkan penabungan dalam kalangan masyarakat demi masa depan yang lebih terjamin.

Katanya, PTPTN juga amat mengalu-alukan kerjasama kerajaan negeri lain untuk membudayakan amalan penabungan.

"Selain Kedah, antara kerajaan negeri yang sudah bekerjasama dengan PTPTN untuk insentif kelahiran baharu dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime ialah Terengganu, Perak, Johor dan Melaka.

"Ini selaras dengan matlamat di dalam teras pertama Pelan Strategik PTPTN 2021 - 2025 iaitu memupuk budaya menabung di kalangan ibu bapa di peringkat awal usia anak-anak bagi tujuan pendidikan tinggi sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 4:17 PM