FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amir Mamat


Melaka: Pihak berkuasa perlu memastikan tiada sebarang rundingan di luar perimeter undang-undang untuk menyelesaikan kes menzalimi atau pembunuhan haiwan di negara ini.

Presiden Pertubuhan Pasukan Tindakan Haiwan (AAT) Sharul Nizam Ab Rahim berkata, pihaknya mahu keadilan ditegakkan sebagai pengajaran kepada pelaku dan masyarakat.

"Terbaharu kekejaman terhadap seekor anjing yang berlaku di Jasin adalah insiden kedua dalam tempoh terdekat berpunca daripada pertikaian individu yang akhirnya menjadikan anjing sebagai mangsa.

"Dalam kes ini, kita menaruh harapan tinggi supaya pengadu dan pelaku tidak berunding sesama mereka untuk penyelesaian kes sekali gus memastikan kesucian undang-undang terus dipertahankan.

"Sebarang rundingan di luar perimeter undang-undang hanya akan mengkhianati perundangan sedangkan nasib haiwan juga perlukan pembelaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan seorang lelaki yang tergamak membunuh kejam seekor anjing milik jirannya di Taman Maju, Jasin, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, lelaki berusia 37 tahun itu dipercayai menceroboh masuk ke dalam garaj rumah jirannya yang juga seorang suri rumah sebelum mengamuk dan mencederakan anjing terbabit dengan menggunakan sebilah parang kecil sebelum haiwan itu dilaporkan mati.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan dilaporkan berkata, ketika kejadian, suri rumah berusia 50 tahun itu terdengar salakan anjing peliharaannya beberapa kali lalu meninjau keadaan luar rumah dari tingkap bilik.

Lelaki itu direman empat hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana ceroboh dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan membunuh atau mencacatkan haiwan.

Berita berkaitan:

  • Bunuh anjing dengan kejam
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 3:38 PM