Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merompak dan mencederakan seorang wanita, dua bulan lalu.

Tertuduh, P Sathiah, 43, dan rakannya, A Sithambaram, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama melakukan rompakan terhadap harta milik seorang wanita iaitu wang tunai SGD 110,000 (RM345,730) di belakang kedai pengurup wang berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Lingkaran Dalam, Bukit Senyum di sini.

Dalam kejadian jam 10.10 pagi, 29 April lalu itu, kedua-dua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas wanita terbabit .

P Sathiah (kanan) dan A Sithambaram (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussien.
P Sathiah (kanan) dan A Sithambaram (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussien.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurhayati Muhammad Fathullah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan adalah tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.

Peguam Syufri A Samad yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan yang minimum diberikan kepada anak guamnya dengan alasan mereka masing-masing mempunyai tanggungan.

"Sathiah bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,600 sebulan dan menanggung isteri serta dua anaknya masing-masing berusia enam dan lapan tahun.

"Manakala, Sithambaram tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menanggung ibunya berusia 55 tahun yang menghidap kencing manis serta asma," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM12,000 setiap seorang berserta syarat tambahan lapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan tertuduh dilarang mengganggu mangsa selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 5 Julai depan.

Kelmarin, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dalam satu kenyataan media memaklumkan polis menahan suspek kes samun itu pada 23 Mei lalu dan merampas semula sejumlah wang disamun serta motosikal digunakan ketika kejadian.

Beliau berkata, mangsa dalam insiden itu cedera di bahagian tangan kiri dan menerima 37 jahitan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 12:29 PM