Zuliaty Zulkiffli


Bukit Kayu Hitam: Tinggal bungkusan berisi daun ketum di kawasan semak dan seludup ke negara jiran apabila ada peluang.

Itu modus operandi yang biasa dilakukan penyeludup daun ketum di sempadan Malaysia-Thailand.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Nordin Manan berkata, penyeludup sentiasa mencari peluang untuk membawa keluar daun ketum ke Thailand tapi selalu gagal.

"Buktinya, kami kerap merampas daun ketum yang ditinggalkan di kawasan semak berhampiran kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

"Itu memang modus operandi yang selalu dilakukan penyeludup. Terbaru, 29 guni daun ketum seberat 1.3 tan dirampas di kawasan semak berhampiran Wang Kelian, Perlis Isnin lalu.

"Sementara Ahad lalu, kami merampas sebanyak 19 guni daun ketum seberat 600 kilogram yang ditinggalkan di dalam Toyota Wish putih di kawasan sama," katanya pada sidang media di Markas Taktikal PGA Briged Utara, di sini, hari ini.

 Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Nordin Manan (kiri) menunjukkan sebahagian 18 guni daun ketum dengan berat 600 kilogram (kiri) yang dimuat dalam kereta Toyota Wish yang dirampas di Wang Kelian pada sidang media di Markas Taktikal Briged Utara PGA Bukit Kayu Hitam. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Nordin Manan (kiri) menunjukkan sebahagian 18 guni daun ketum dengan berat 600 kilogram (kiri) yang dimuat dalam kereta Toyota Wish yang dirampas di Wang Kelian pada sidang media di Markas Taktikal Briged Utara PGA Bukit Kayu Hitam. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Perak Superintendan Ramli Wan Salin kepada Pegawai Pemerintah Batalion 1 PGA Hulu Kinta, Perak, Superintendan Shamsul Baharin Aman untuk menjalankan tugas Ops Wawasan Kedah/Perlis.

Nordin berkata, upah lumayan serta harga mencecah tiga kali ganda di negara jiran menyebabkan penyeludup daun ketum semakin berani melakukan kegiatan itu.

Katanya, harga pasaran daun ketum di negara ini kira-kira RM40 sekilogram berbanding RM150 sekilogram di Thailand.

Dalam pada itu, Nordin berkata, pihaknya sentiasa memberi tumpuan di semua laluan yang menjadi lokasi panas kumpulan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang cuba masuk ke negara ini.

Menurutnya, ia susulan kegiatan penyeludupan Pati terutama warga Myanmar semakin rancak di kawasan sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 5:35 PM