Aizat Sharif


Padang Besar: Cubaan menyeludup daun ketum ke Thailand dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dari Batalion 18 Pangkalan Hulu, Perak selepas menjumpai lebih satu tan daun ketum yang disembunyikan dalam sebuah kebun getah di Wang Kelian, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Briged Utara, Superintendan Ramli Wan Salin berkata, daun ketum itu ditemui pada jam 3 pagi ketika anggotanya sedang menjalankan tugas rondaan sempena Op Wawasan Kedah/Perlis 2022 di sebuah kebun getah di Kampung Wang Kelian.

"Dalam rondaan itu, anggota kami menjumpai longgokan guni yang diletakkan dalam kebun getah itu dan selepas diteliti ternyata guni berkenaan berisi daun ketum yang kita percaya cuba diseludup ke Thailand menggunakan 'laluan tikus'.

"Anggota kita kemudian menunggu lebih satu jam untuk membuat pemerhatian pemilik guni itu namun tiada siapa yang tampil atau menghampiri tempat berkenaan dan pemeriksaan selanjutnya mendapati longgokan guni daun ketum itu adalah seberat 1,015 kilogram (kg) dengan nilai dianggarkan berjumlah RM30,450," katanya kepada pemberita dalam sidang media di kuarters sementara PGA di Padang Besar, di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati kebun getah itu dijadikan transit sebelum daun ketum diedarkan ke Thailand memandangkan jarak antara lokasi terbabit dengan negara jiran itu kurang lima kilometer.

"Anggota sindiket atau dipanggil kader yang diupah ini akan masuk dari Thailand dan membawa bebanan daun ketum ini dengan menggalas sendiri guni sambil berjalan keluar menuju ke lokasi pagar sempadan Malaysia-Thailand yang sudah ditetapkan sindiket.

"Berdasarkan keadaan daun ketum ini, kita percaya ia baru saja diletakkan di kawasan itu beberapa jam sebelum itu," katanya.

Beliau berkata, sejak 5 Mei hingga semalam, pihaknya merekodkan lima kes rampasan daun ketum yang mana kebanyakan kes tertumpu di 'hotspot' penyeludupan di Chuping dan Padang Besar.

"Rampasan daun ketum secara keseluruhan di Perlis yang berjaya dilakukan oleh kami adalah sebanyak 1,375 kg dengan nilai rampasan berjumlah RM41,250 dan daripada jumlah itu, 360 kg saja adalah rampasan di lokasi 'hotspot' Chuping dan Padang Besar yang membabitkan rampasan bernilai sekitar RM10,800.

"Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Terdahulu, Ramli membawa media meninjau laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Perpustakaan Awam Padang Besar yang kini sedang menjalani kerja pembinaan Pelabuhan Darat Perlis atau Perlis Inland Port.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 12:17 PM