TRAK pacuan empat roda yang ditinggalkan penyeludup sebagai kegunaan membawa daun ketum. FOTO Ihsan PGA
TRAK pacuan empat roda yang ditinggalkan penyeludup sebagai kegunaan membawa daun ketum. FOTO Ihsan PGA
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SEBANYAK 3.56 tan daun ketum bernilai lebih RM106,800 dirampas dalam empat serbuan menerusi Op Benteng di beberapa lokasi sekitar Padang Besar, berdekatan tembok sempadan Malaysia-Thailand.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Wilayah Utara dalam tempoh dua hari bermula semalam.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohd Ji berkata, pihaknya turut merampas sebuah pacuan empat roda bernilai RM80,000 yang ditinggalkan penyeludup sebagai kegunaan membawa daun ketum untuk diseludup ke negara jiran.

Menurutnya, dalam serbuan pertama pada 5 pagi semalam, pihaknya terserempak dengan sekumpulan lelaki disyaki penyeludup ketika melakukan rondaan rutin di ladang kelapa sawit berhampiran tembok sempadan.

"Bagaimanapun, kesemua mereka bertindak melarikan diri dengan meninggalkan daun ketum sewaktu anggota cuba menghampiri.

"Hasil pemeriksaan kemudian menemui sejumlah 30 guni berisi 900 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM27,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

SEBANYAK 3.56 tan daun ketum bernilai lebih RM106,800 berjaya dirampas Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Wilayah Utara dalam empat siri serbuan menerusi Op Benteng di beberapa kawasan berdekatan tembok sempadan Malaysia - Thailand.FOTO Ihsan PGA
SEBANYAK 3.56 tan daun ketum bernilai lebih RM106,800 berjaya dirampas Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) Wilayah Utara dalam empat siri serbuan menerusi Op Benteng di beberapa kawasan berdekatan tembok sempadan Malaysia - Thailand.FOTO Ihsan PGA

Menurutnya, pihaknya menyerbu dua pondok kosong di ladang getah di Jalan Kubang Keladi dan ladang pokok getah di Kubang Tiga, Padang Besar pada 8.15 pagi hari sama.

"Hasil serbuan ke atas pondok pertama menemui 1,230 kilogram daun ketum bernilai RM36,900 dalam 41 guni sebelum jumlah yang sama turut ditemui di pondok kedua di Kubang Tiga.

"Manakala dalam serbuan terakhir pada 12.30 tengah malam tadi, anggota berjaya menghalang seorang lelaki daripada mencampakkan enam guni daun ketum seberat 200 kilogram bernilai RM6,000 ke negara jiran menerusi tembok sempadan," katanya.

Bagaimanapun katanya, lelaki terbabit sempat meloloskan diri melalui belukar berhampiran dengan meninggalkan sebuah pacuan empat roda.

"Kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 5:40 PM