SEBANYAK 510 kg daun ketum dengan nilai dianggarkan RM15,300 berjaya dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dalam kejadian di Padang Besar semalam. FOTO IHSAN PGA BRIGED UTARA
SEBANYAK 510 kg daun ketum dengan nilai dianggarkan RM15,300 berjaya dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dalam kejadian di Padang Besar semalam. FOTO IHSAN PGA BRIGED UTARA
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Padang Besar: Sebanyak 510 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM15,300 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara ketika menjalankan penugasan Op Benteng Covid di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit, di sini, semalam.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, dalam kejadian jam 5.45 petang itu, anggota peronda PGA dari Batalion 1 yang menjalankan tugas di sekitar KTJ Ps Simpang Lima, Felcra Lubuk Sireh ternampak pergerakan sekumpulan lelaki mencurigakan di kawasan berkenaan.

"Anggota PGA yang bertugas membuat rondaan di kawasan berkenaan bersempena Op Benteng Covid yang giat dijalankan di seluruh negara.

"Mereka kemudian terlihat pergerakan sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan berada dalam kawasan sunyi di penempatan berkenaan dan sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, suspek kemudian bertempiaran lari ke kawasan hutan berhampiran.

"Mengesyaki kumpulan berkenaan adalah penyeludup, anggota PGA kemudian membuat pemeriksaan di kawasan itu dan menjumpai 17 guni berwarna putih yang mengandungi daun hijau dipercayai daun ketum," katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Katanya, daun ketum ditemui dalam guni berkenaan mempunyai berat 510 kg dianggarkan bernilai RM15,300 dan kesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut.

Bekalan daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke Thailand.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Sepanjang Tahun Baru Cina bermula Jumaat lalu hingga semalam, PGA Briged Utara Batalion 1 berjaya merampas sebanyak 810 kg daun ketum bernilai RM24,300.

Malah, dalam operasi berkenaan juga, seorang lelaki berusia 41 tahun dipercayai penyeludup turut ditahan disamping merampas lima kenderaan termasuk sebuah kereta yang digunakan untuk menyeludup barang terlarang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 8:04 PM