DAUN ketum yang dirampas PGA Briged Utara Batalion 3. FOTO Ihsan PGA Briged Utara.
DAUN ketum yang dirampas PGA Briged Utara Batalion 3. FOTO Ihsan PGA Briged Utara.
Aizat Sharif


Padang Besar: Sebanyak 210 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai RM6,000 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara ketika penugasan Op Benteng Covid di Pos Kawalan BKC 7 berhampiran laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, di sini, semalam.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner, Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, dalam kejadian 2.30 petang itu, tiga anggota peronda PGA dari Batalion 3 sedang meronda di kawasan berhampiran pos kawalan sebelum ternampak enam longgokan guni putih yang sengaja ditinggalkan di kawasan berkenaan.

"Ketika rondaan, mereka menemui enam guni warna putih yang sarat mengandungi daun hijau disyaki daun ketum ditinggalkan di kawasan itu.

"Mengesyaki longgokan guni berkenaan adalah untuk tujuan penyeludupan, anggota PGA kemudian menunggu dan membuat pemerhatian lebih kurang satu jam di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, tiada individu didapati tampil atau cuba menghampiri guni itu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati guni itu mengandungi daun ketum dianggarkan sebanyak 210 kg.

"Kesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut.

"Kita percaya bekalan daun ketum itu cuba diseludup keluar ke Thailand memandangkan kawasan berkenaan adalah kawasan sempadan Malaysia-Thailand dan sering digunakan penyeludup untuk menyeludup ketum," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Menurutnya , sepanjang tiga hari operasi bermula Ahad lalu, PGA Briged Utara Batalion 3 merampas 707 kg daun ketum yang dianggarkan bernilai RM20,910.

Malah, dalam operasi berkenaan juga, sebuah motosikal Honda Wave dipercayai ditinggalkan oleh penyeludup bernilai RM1,500 turut dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 8:32 PM