M Hifzuddin Ikhsan


Yan: "Bukan kami yang melakukan amalan khurafat, sebaliknya kami yang cegah perbuatan khurafat di Gunung Jerai," tegas seorang lelaki berasal dari Kuala Lumpur yang mendakwa datang ke puncak gunung itu untuk berdakwah.

Lelaki yang mahu hanya dikenali sebagai Azhar, 45, menjelaskan perbuatan khurafat memang sering berlaku di puncak Gunung Jerai dilakukan pihak luar yang mengaku sebagai bomoh serta kumpulan paranormal yang sengaja mencari masalah.

Katanya, individu yang mengaku sebagai bomoh terbabit akan membawa pesakit mereka naik ke Gunung Jerai pada waktu malam dan melakukan ritual termasuk mandi di Telaga Tok Sheikh yang dikatakan mampu merawat penyakit.

"Macam-macam jenis manusia datang ke Gunung Jerai setiap hari, ada datang niat baik, ada datang niat tidak baik. Tok bomoh bawa pesakit tengah malam buta pun ada, mereka datang mandi dan naik sehingga ke Padang Tok Sheikh untuk berubat cara mereka.

"Anak muda mengaku kumpulan paranormal juga ramai datang, tetapi mereka datang dengan niat sengaja mahu mencari jin sampai menyeru nama tokoh agama dan buat rakaman video. Apabila video disebar, orang 'di bawah' salah faham dan tuduh kami yang khurafat.

Pegawai polis melakukan pemeriksaan di sekitar puncak Gunung Jerai susulan dakwaan berlaku amalan khurafat di kawasan Telaga Tok Sheikh. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Pegawai polis melakukan pemeriksaan di sekitar puncak Gunung Jerai susulan dakwaan berlaku amalan khurafat di kawasan Telaga Tok Sheikh. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

"Hendak tegur perbuatan pengunjung yang menyimpang ajaran Islam, kami takut bergaduh pula. Malah pernah ada pengunjung menuduh saya adalah jin hanya kerana memakai jubah dan berserban ketika beramal di pondok," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ketika tinjauan dilakukan, selain Azhar, terdapat empat lagi individu asal Kelantan dan Kedah berada di kawasan Telaga Tok Sheikh yang turut mendakwa mereka berkunjung ke Gunung Jerai bagi melakukan ibadah seperti solat dan zikir selain mencari ketenangan.

Minggu lalu, tular video di media sosial memaparkan perbuatan sekumpulan lelaki mandi di Telaga Tok Sheikh dan berkunjung ke lokasi sekitar Gunung Jerai menyebabkan timbul dakwaan mereka melakukan amalan khurafat dan bertentangan ajaran Islam.

Berikutan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) bertindak menyiasat aduan berkaitan video berkenaan mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darulaman) 2014 serta memandang berat kejadian yang dilakukan beberapa individu berkenaan.

Seorang lagi pengunjung tetap Gunung Jerai dikenali sebagai Abdul Karim, 31, berkata terlalu banyak salah faham berlaku apabila orang ramai mendakwa berlaku perbuatan syirik dan amalan khurafat di Gunung Jerai, sedangkan kawasan itu mempunyai sejarah tersendiri termasuk menjadi saksi penyebaran awal Islam di rantau ini.

Katanya, video tular berkaitan Gunung Jerai minggu lalu, sebenarnya dirakam sekumpulan pelajar sebuah pusat tahfiz yang sekadar berkunjung ke lokasi bersejarah dan mengambil peluang untuk mandi di telaga yang juga adalah punca mata air.

"Memang saya ada lihat dan sempat berjumpa mereka, tidak ada yang pelik perbuatan mereka itu. Ada lagi yang lebih pelik kami pernah lihat dilakukan pengunjung lain, malah ada yang cuba bina bangunan kecil dan sembah batu atau pokok di kawasan ini.

"Mujur kami sempat halau dan runtuhkan binaan yang mereka cuba buat, kami sebolehnya mahu jaga ketenteraman sekitar Gunung Jerai. Malah, kami turut bantu potong rumput, kutip sampah dan bersihkan seluruh kawasan ini setiap hari.

"Disebabkan itu, saya kata orang ramai tidak boleh nilai kami dengan hanya duduk bersembang selama satu atau dua jam sahaja. Mereka kena duduk dua atau tiga hari di sini, baru mereka dapat merasai ketegangan yang ada," katanya yang berasal dari Baling.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut memberi reaksinya, apabila mengatakan tindakan melakukan amalan mandi di Gunung Jerai tidak boleh dianggap sebagai khurafat kerana perbuatan itu bergantung kepada niat individu terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 4:09 PM