KAWASAN sekitar Telaga Pak Sheikh di puncak Gunung Jerai. Amalan berwuduk di telaga itu, solat sunat dan berdoa diharuskan jika ia berdasarkan niat dan tatacara yang tidak bertentangan dengan  syarak.
KAWASAN sekitar Telaga Pak Sheikh di puncak Gunung Jerai. Amalan berwuduk di telaga itu, solat sunat dan berdoa diharuskan jika ia berdasarkan niat dan tatacara yang tidak bertentangan dengan syarak.
Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

NEGARA gempar seketika dengan isu segelintir pelajar pondok yang menaiki Gunung Jerai dan mengadakan amalan ritual di situ. Sesetengah golongan mendakwa ia adalah amalan khurafat yang bercanggah dengan Islam. Manakala sebahagian besar umat Islam yang ditunjangi autoriti agama mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga siasatan berkaitan dengannya selesai dilakukan.

Dalam hal ini, Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat. Dan seseorang diberi pahala berdasarkan apa yang diniatkan."  (Riwayat al-Bukhari)

Manakala dalam hadis yang lain disebutkan: "Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada bagaimana cara ia ditamatkan." (Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas jelas kepada kita bahawa sesuatu perbuatan Muslim mukallaf dinilai berdasarkan niat seseorang dan cara pelaksanaan perbuatan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, amalan menziarahi makam ulama, masjid lama, berdoa, bertawassul, bertabarruk (mengambil berkat) adalah dibenarkan hukum syarak.

Buktinya, Imam an-Nawawi rahimahullah dalam "Tahdzibul Asmaa-i wal Lughaat" juz ke-2, halaman 24, menulis bahawa Khalifah 'Umar bin Abdul Aziz RA menjelang kewafatannya berwasiat supaya beliau dikebumikan bersama-sama dengan rambut dan kuku junjungan Nabi SAW. Selepas Baginda wafat, maka wasiat ini dilaksanakan.

Imam an-Nawawi menyatakan antara lain:  "Dan (Khalifah Umar bin Abdul Aziz) berwasiat supaya dikebumikan bersamanya sesuatu yang dimilikinya daripada rambut junjungan Nabi SAW dan beberapa kuku daripada kuku Baginda SAW. Dia berkata: "Apabila aku mati, maka kamu jadikannya dalam kafanku (yakni masukkanlah rambut dan kuku Nabi SAW dalam kain kafanku)" maka mereka pun melakukan yang sedemikian.

Diriwayatkan daripada Yusuf bin Maahik yang berkata: "Ketika kami sedang meratakan tanah atas kubur Khalifah 'Umar bin Abdul Aziz jatuh ke atas kami secebis kain dari langit yang tercatat padanya: Bismillahir Rahmanir Rahim, keamanan daripada Allah buat Umar bin Abdul Aziz dari api neraka."

Oleh demikian, jika perbuatan bertabarruk itu menyalahi syariat, pasti Khalifah Umar RA yang terkenal alim, adil, warak, bahkan dinobatkan sebagai salah khalifah rasyidin dan mujaddid kurun yang pertama, tidak akan berwasiat dengannya dan pasti wasiat berkenaan tidak dilaksanakan.

Sementara itu, sebelum kita mengklasifikasi sesuatu perbuatan sebagai khurafat maka kita perlu jelas dengan definisi dan ciri khurafat.

Lafaz 'al-khurafat' dalam Lisanul Arab karangan Ibn Mandzur (1) membawa erti dongeng, legenda, kisah panglipulara, cerita bohong yang menarik dan mempersonakan, kepercayaan dan keyakinan yang tidak berpaksikan logikal akal dan pegangan akidah benar.

Kemunculan khurafat berasal daripada pengkhabaran seorang lelaki Arab daripada Bani al-Ud'zrah yang menghilang dalam tempoh masa yang agak lama. Beliau mendakwa ia diculik oleh jin, namun dakwaan terbabit dibantah oleh masyarakat setempat dan dikatakan sebagai suatu perkhabaran palsu dan dusta semata-mata, sehingga mereka (kaum Arab) ketika itu mengatakan 'berita kamu ini terlebih bohong daripada Khurafat.'

Al-Hairi juga menyatakan setiap pendustaan berasal daripada Khurafat. (2) Khurafat kebiasaannya bersumberkan dinamisme dan animisme. Dinamisme adalah kepercayaan adanya kekuatan dalam diri manusia terbabit, haiwan, tumbuh-tumbuhan, kayu kayan, batu batuan dan entiti tertentu. Manakala animisme adalah kepercayaan di mana wujudnya jiwa dan roh yang mampu  mempengaruhi alam manusiawi.

Khurafat adalah bid'ah 'aqidah kerana  kepercayaan atau keyakinan terhadap perkara terbabit menyalahi tuntutan ajaran Islam sebenar. (Sila rujuk (1). Lisanul 'Arab, m/s 9/62,  (2). al-A'lam, az-Zirikli, m/s 2/303)

Jakim menerbitkan Buku Garis Panduan Amalan Khurafat dan Azimat Menurut Islam pada 2008 dan menyenaraikan enam ciri utama:

Ciri-ciri khurafat dan azimat antaranya:

  • Ia tidak didasarkan pada nas syarak sama ada al-Quran atau hadis
  • Ia adalah cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut
  • Ia bersumberkan kepada kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam
  • Ia berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus untuk tujuan memudaratkan dan menyeleweng daripada akidah Islam
  • Ia menggunakan objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya untuk tujuan yang tertentu
  • Ia mempunyai unsur negatif pada akidah dan syariah Islam
  • Berdasarkan senarai ciri di atas, maka amalan mandi dan berwuduk di telaga Pak Sheikh, bersolat sunat dan berdoa berhampiran makam Sheikh adalah diharuskan. Ini kerana amalan berkenaan dibuat berdasarkan kepada niat dan tatacara yang tidak bertentangan dengan hukum syarak. Ia adalah amalan sunat dan dipandang sebahagian daripada adab menziarahi makam anbiya, ulama, auliya, syuhada atau solihin.

    Imam al-Syafie sendiri pernah mengambil berkat  dengan makam Imam Abu Hanifah ketika beliau memerlukan sesuatu hajat. Beliau hadir ke makam lalu menunaikan solat dua rakaat dan berdoa supaya hajatnya segera dikabulkan oleh Allah SWT. (Tarikh Baghdad, jilid 1, hlm 123)

    Sebenarnya dalil berkaitan hal ini masih banyak untuk ditelusuri. Semoga kita sentiasa dibekalkan dengan ilmu yang bermanfaat, berdampingan dengan alim ulama dan merujuk pihak autoriti agama sebelum mengulas sesuatu isu yang berlaku. Hal ini penting supaya fahaman dan pegangan kita sentiasa terarah ke jalan yang benar. Wallahualam

    Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja)

    Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 9:30 AM