BERNAMA

Penampang: Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menutup sambutan Pesta Kaamatan 2022 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) di sini, hari ini.

Pada majlis itu Tun Juhar menyempurnakan upacara 'mengomot' atau menuai padi dan upacara 'popoopi pa'ai doid tangkob' atau menyimpan padi, sebelum mengisytiharkan sambutan Pesta Kaamatan 2022 Peringkat Negeri Sabah ditutup dan memalu gong sebanyak tujuh kali.

Tun Juhar bersama tetamu kehormat antaranya Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan, kemudiannya menyertai acara nyanyian lagu 'Tadau Tagazo Do Kaamatan' dipersembahkan koir Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau.

Turut hadir isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Turut diadakan upacara 'mangavau' oleh Persatuan Bobolian Negeri Sabah, iaitu upacara bagi meraikan semangat padi atau 'Bambaazon' mendoakan kesejahteraan kepada masyarakat dan kesuburan kepada tanah untuk hasil tanaman.

Pesta Kaamatan adalah pesta bagi melahirkan rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang baik pada asalnya diraikan masyarakat Kadazandusun.

Namun, ia berkembang sebagai pesta diraikan rakyat Sabah berbilang latar belakang pada Mei setiap tahun dan diakhiri dengan majlis penutupan hari ini.

Sementara itu, Hajiji ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, kepelbagaian latar belakang kaum, budaya dan agama dalam kalangan rakyat Sabah adalah aset penting yang perlu dipelihara dan dipertahankan terutama buat generasi akan datang.

Beliau berkata, selain membentuk jati diri rakyat Sabah, nilai kepelbagaian dan alam semula jadi dimiliki Negeri di Bawah Bayu itu juga penting sebagai faktor tarikan sektor pelancongan yang menjana ekonomi setempat dan negeri secara amnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM9.5 juta melalui Belanjawan Sabah 2022 kepada Lembaga Kebudayaan Sabah bagi usaha itu.

Selain itu, kerajaan negeri juga sedang menggubal pelan bagi membawa kebudayaan negeri itu ke peringkat lebih tinggi antaranya usaha pendigitalan dan penyebaran maklumat.

"Kerajaan Sabah kini sedang berusaha membawa pembangunan dan kemajuan negeri melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya. "Justeru, saya berharap rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang bersama menyokong semua usaha ini untuk kita bersama membawa kemajuan negeri," katanya.

Gadis Kadazan Penampang memakai pakaian tradisional pada acara penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Hongkod Koisaan Penampang hari ini. FOTO BERNAMA
Gadis Kadazan Penampang memakai pakaian tradisional pada acara penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Hongkod Koisaan Penampang hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 3:14 PM