PETER selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem M&E UMS. FOTO Bernama
PETER selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem M&E UMS. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Datuk Peter Anthony menipu empat individu termasuk Datuk Seri Najib Razak bagi mendapatkan kontrak kerja operasi dan penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bernilai hampir RM25 juta untuk diberikan kepada syarikat miliknya, Asli Jati Engineering Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi, dalam penghakimannya berkata, Peter menipu Najib, yang ketika itu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dengan menyatakan dia mendapat sokongan UMS bagi kontrak kerja M&E Fasa 2, sedangkan sokongan yang diberikan oleh UMS adalah bagi projek smart partnership.

Beliau berkata, tertuduh juga menipu Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS Profesor Dr Shariff Abdul Kadir S Omang, bekas Pendaftar UMS Datuk Abdullah Mohd Said yang juga bekas Pengerusi ULINK Property Sdn Bhd dan rakannya, Mohd Shukur Mohd Din.

"Terdapat keterangan mencukupi bahawa tertuduh telah menipu ketiga-tiga mereka dengan mengaburi pemikiran mereka mengenai projek usaha sama smart partnership antara anak syarikat milik penuh UMS, ULINK Property dan syarikat milik Peter, Asli Jati," katanya.

Azura berkata, ketiga-tiga mereka yang juga saksi pendakwaan juga dikenakan tindakan tatatertib disebabkan perbuatan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu.

Azura berkata, tiada isu ketiga-tiga individu itu ingin mengenakan dan meletakkan kesalahan kepada tertuduh semata-mata kerana tiada keterangan menunjukkan bahawa pertuduhan terhadap tertuduh adalah bermotifkan politik sebagaimana yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan.

Berhubung pertuduhan memalsukan dokumen, beliau berkata, walaupun tiada keterangan langsung yang menunjukkan tertuduh melakukan pemalsuan dengan memasukkan penyataan palsu pada tajuk surat sokongan kepada Kementerian Kewangan, namun terdapat keterangan bahawa tertuduh sahaja yang mempunyai peluang untuk memalsukan surat berkenaan.

"Keterangan menunjukkan bahawa Mohd Shukur (saksi pendakwaan ketiga- SP3) telah menaip draf surat di dalam komputer di pejabat tertuduh dan kemudian meninggalkan surat kosong dengan kepala surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS," katanya.

Azura berkata, selepas menilai dan menimbang keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati versi pembelaan adalah penafian tidak konsisten dan pemikiran semula semata-mata.

"Penafian tertuduh bahawa dia tidak pergi ke pejabat bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Najib, arwah Datuk Azlin Alias pada 13 Jun 2014 dan menyerahkan surat sokongan kepada Azlin tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah kerana keterangan SP3 dan SP8 mengesahkan perbuatan tersebut," katanya.

Menurut Azura, terdapat keterangan menunjukkan hanya tertuduh yang mempunyai kepentingan terhadap kontrak kerja-kerja M&E tersebut sedangkan SP3, SP8 (Profesor Dr Shariff ) dan SP9 (Abdullah) secara konsisten menyatakan mereka hanya terbabit dalam fasa smart partnership antara anak syarikat milik UMS, ULINK Property dan Asli Jati semata-mata.

Azura berkata, Peter bersungguh-sungguh untuk mendapatkan projek berkenaan demi kepentingan dirinya serta syarikat miliknya (Asli Jati).

Katanya, jika dinilai secara keseluruhan, terdapat peluang untuk tertuduh melakukan pemalsuan terbabit dan tindakan itu dibuat secara tidak jujur.

Peter, 51, dipenjara tiga tahun dan didenda RM50,000 selepas didapati bersalah kerana memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di UMS.

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan hari ini selesai, namun memerintahkan denda RM50,000 itu dibayar hari ini.

Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 7:40 PM